Oleh Alias Abd Rani


Batu Pahat: Seorang pelajar tahfiz mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap junior, Ogos tahun lalu.

Tertuduh, Zulkarnain Mohd Ali, 19, sebelum itu mengangguk faham sebelum membuat pengakuan tidak bersalah sebaik pertuduhan dibaca jurubahasa di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal yang ketika itu berusia lapan tahun dengan kejadian itu berlaku dalam tandas sebuah pusat tahfiz di Kluang, dekat sini, jam 10.30 malam, Ogos tahun lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum mengikut seksyen sama iaitu penjara sehingga 20 tahun serta sebatan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan selepas mengambil kira kesalahan serius dilakukan tertuduh.

Bagaimanapun, selepas mengambil kira rayuan tertuduh serta hujahan pihak pendakwaan, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah juga menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang setiap awal bulan serta tidak boleh mendekati atau berhubung dengan mangsa.

Sebutan semula kes itu ditetapkan pada 5 Disember ini selain serahan dokumen serta lantikan peguam tertuduh.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2023 @ 2:39 PM