Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Mahkamah Sesyen di sini membebaskan dan melepaskan seorang pengetua sekolah menengah daripada pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap empat pelajarnya pada 2018.

Hakim Noor Aini Yusof membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Zainuren Mohamed, 58, di akhir kes pendakwaan.

"Berdasarkan kepada penilaian maksima, meneliti penghujahan yang difailkan kedua-dua pihak, mahkamah mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

"Oleh itu, tertuduh dibebas dan dilepaskan tanpa dipanggil membela diri daripada pertuduhan.

"Secara ringkasnya, terdapat isu kredibiliti saksi, terdapat banyak percanggahan dalam kes pendakwaan serta kegagalan pihak pendakwaan memanggil saksi utama," katanya ketika membaca keputusan hari ini.

Dalam pada itu, mahkamah turut memerintahkan wang jaminan berjumlah RM54,000 dikembalikan semula kepada tertuduh.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Syeqal Che Murat manakala tertuduh diwakili peguam E Gnasegaran.

Pada Januari 2019, tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan melakukan amang seksual fizikal terhadap empat pelajarnya.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap empat pelajar lelaki berusia 11, 13 dan 14 tahun.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di bilik khas pengetua dan asrama di sebuah sekolah di sini antara jam 4 petang hingga 11.40 malam antara 6 April hingga 10 Oktober 2018.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan.

Sementara itu, tertuduh yang ditemani isterinya kelihatan sebak dan meluahkan rasa syukur selepas mahkamah membersihkan namanya serta berterima kasih kepada peguam dan rakan yang menyokongnya sejak awal perbicaraan empat tahun lalu.

ZAINUREN bersama peguamnya Gnasegaran selepas dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap empat pelajarnya di Mahkamah Butterworth di sini. FOTO DANIAL SAAD
ZAINUREN bersama peguamnya Gnasegaran selepas dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap empat pelajarnya di Mahkamah Butterworth di sini. FOTO DANIAL SAAD

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mei 2022 @ 12:53 PM