Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Seorang pemandu e-hailing merayu diberi peluang kedua selepas mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan melakukan perbuatan amang seksual terhadap anak perempuan kandungnya, tahun lalu.

Tertuduh berusia 63 tahun yang dihadapkan di Mahkamah Sesyen, di sini, tadi, membuat pengakuan itu ketika kesemua kertas pertuduhan berkenaan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa melakukan amang seksual terhadap anak perempuan kandungnya yang ketika itu berusia 13 tahun dengan memegang payu dara kanak-kanak berkenaan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Mukim 8 Tanah Liat, Bukit Mertajam dalam daerah Seberang Perai Tengah, antara Mac dan Jun 2022.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat pula, tertuduh didakwa melakukan amang seksual dengan menghisap payu dara dan memegang kemaluan kanak-kanak sama di lokasi yang sama pada Mei 2022.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(2)(a) akta yang sama.

Seksyen 14 (a) membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebat manakala Seksyen 16 (2) akta sama, membawa kepada hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebat tidak kurang dua sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ketika prosiding, Wan Amira memohon supaya tiada sebarang jaminan ditawarkan berikutan hubungan tertuduh dengan mangsa.

Bagaimanapun, tertuduh yang diberi peluang oleh hakim untuk berkata sesuatu kepada mahkamah merayu supaya dia dapat diberikan 'peluang kedua' berikutan insaf dengan kesalahan dilakukannya.

Hakim kemudian menetapkan tiada sebarang jaminan ditawarkan terhadap tertuduh atas alasan yang dikemukakan pihak pendakwaan.

Kes akan disebut semula pada 27 September ini untuk fakta kes dan jatuh hukum terhadap tertuduh.

Lelaki diiringi anggota polis di Mahkamah Butterworthatas empat pertuduhan. FOTO DANIAL SAAD
Lelaki diiringi anggota polis di Mahkamah Butterworthatas empat pertuduhan. FOTO DANIAL SAAD

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2023 @ 11:49 AM