Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan merompak telefon bimbit dan wang tunai RM6 serta melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan.

Tertuduh, Muhammad Zairuzi Zahri, 29, membuat pengakuan itu selepas dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merompak harta remaja perempuan berusia 17 tahun tujuh bulan iaitu sebuah telefon bimbit dan wang tunai RM6 di sebuah kampung di daerah ini, jam 7 pagi pada 22 September lalu.

Tertuduh turut didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama di lokasi, masa dan tarikh sama.

Selain itu, tertuduh turut berdepan tiga lagi pertuduhan merompak harta tiga lagi wanita masing berusia antara 20 hingga 49 tahun di dengan kesalahan dilakukan sekitar daerah ini antara 8 Julai hingga 23 September lalu.

Bagi setiap pertuduhan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana merompak, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

JOHN Soh Chee Wen  (kiri) dan Quah Su-Ling . FOTO The Edge Singapore.
JOHN Soh Chee Wen (kiri) dan Quah Su-Ling . FOTO The Edge Singapore.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 turut berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 5 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan tiada sebarang jaminan ditawarkan kepada tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hanis Nabihah Hizamul-Din manakala tertuduh tidak wakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 November 2022 @ 4:47 PM