Alias Abd Rani


Muar: Remaja orang kurang upaya (OKU) lembam pelajaran mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan amang seksual fizikal dan merogol sepupunya di sebuah rumah di daerah ini, Julai dan Ogos lalu.

Tertuduh berusia 14 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Fatin Dalilah Khalid.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang juga pelajar tingkatan dua didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap sepupunya berusia 13 tahun, Julai lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama, penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan.

Pertuduhan kedua pula, dia didakwa merogol mangsa sama di rumah berlainan dan kejadian berlaku dilaporkan berlaku pada jam 12 tengah hari, 21 Ogos lalu.

Bagi kesalahan ini, remaja itu didakwa mengikut Seksyen 376 (2) (d) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 30 tahun serta dikenakan sebatan.

REMAJA berusia 14 tahun dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Muar selepas mengaku cabul dan amang seksual fizikal terhadap sepupu. FOTO Alias Abd Rani
REMAJA berusia 14 tahun dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Muar selepas mengaku cabul dan amang seksual fizikal terhadap sepupu. FOTO Alias Abd Rani

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir manakala tertuduh diwakili Nor Hafizah Abdullah daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Mahkamah menetapkan 23 Januari depan untuk laporan sosial daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat serta menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh.

Di mahkamah sama, bapa kepada mangsa cabul dan rogol didenda RM800 selepas mengaku salah menggunakan kekerasan terhadap tertuduh.

Pengakuan itu dibuat jurukimpal berusia 49 tahun selepas dia didakwa mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan.

Seksyen ini memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Selain hukuman denda, mahkamah juga memerintahkan bapa mangsa dipenjara tiga bulan jika gagal membayarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2023 @ 2:18 PM