Mohd Johari (kanan) menunjukkan kotak berisi makanan yang dimuat naik ke dalam treler di Kaherah, Mesir untuk dihantar ke Gaza.
Mohd Johari (kanan) menunjukkan kotak berisi makanan yang dimuat naik ke dalam treler di Kaherah, Mesir untuk dihantar ke Gaza.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Tiga treler membawa barangan perubatan, makanan dan minuman keseluruhannya bernilai AS$1.5 juta (RM7.2 juta) dengan sebahagiannya disumbangkan rakyat Malaysia untuk rakyat Palestin, akan bertolak ke sempadan Mesir-Palestin menuju Gaza, selewat-lewatnya Isnin hadapan.

   Tugas memasukkan barangan bantuan kecemasan itu ke dalam kotak dan memuat naik ke dalam lori mula dilakukan semalam dengan turut dibantu sukarelawan Muslim Care Malaysia (MCM) yang berada di bandar ini sejak 10 hari lalu. 

  Timbalan Presiden MCM, Mohd Johari Ismail berkata, pihaknya membelanjakan lebih RM500,000 untuk pembelian barangan perubatan, makanan dan minuman daripada RM1.5 juta yang sudah dibelanjakan untuk bantuan kecemasan Palestin.  

Menurutnya, majoriti sumbangan disalurkan terus kepada MCM Palestin di Gaza yang diketuai penduduk tempatan yang juga wakil MCM, Ahmad Abu Ayesh. 

  "Bagi bantuan dari Mesir pula, MCM dan Muslim Care Egypt bergabung dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa Miles of Smiles yang berpejabat di London dan turut dianggotai NGO dari United Kingdom, Jordan, Turkiye dan Sweden," katanya.  

Johari berkata, antara makanan yang akan dihantar ke Gaza ialah daging, ikan dan kacang dalam tin, tepung gandum, keju, serbuk teh, manisan serta air minuman di dalam botol.   "Barangan itu dimasukkan ke dalam kotak kecil yang setiap satu seberat lapan kilogram," katanya yang mengetuai pasukan MCM membabitkan tiga individu.

Bersama beliau ialah Setiausaha Agung, Ahmad Safuan Ujar dan Exco Media, Tuan Asri Tuan Hussein.    

Menurutnya, barangan perubatan pula termasuk pembalut luka, kerusi roda, katil, pengusung beroda, tongkat, alat pengimbas serta mesin ECG untuk rawatan jantung.  

Johari berkata,  tiga treler setiap satu sepanjang 12 meter yang membawa semua barangan perubatan dan makanan itu akan bertolak selewat-lewatnya esok dari Kaherah ke bandar Al-Arish yang terletak 45 kilometer dari lintasan Rafah yang memisahkan Mesir dan Gaza.  

"Al-Arish kini menjadi pusat pengumpulan barangan bantuan untuk ke Gaza dan sebuah stadium digunakan untuk tujuan itu. Malah, kerajaan Mesir bercadang membuka hospital medan di bandar itu sebelum melonggarkan kawalan pintu sempadan bagi merawat ribuan rakyat Palestin yang cedera," katanya. 
  Sementara itu, kemasukan lori membawa bantuan kecemasan ke Gaza masih terhad.

Setakat ini hanya 74 lori membawa bantuan makanan dan ubat-ubatan dibenarkan melepasi lintasan Rafah manakala beratus-ratus lori lagi beratur di pintu sempadan menunggu giliran. 

  Johari berkata, pihak "Miles of Smiles" turut mengadakan pertemuan dengan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Mesir untuk merancang kerjasama. 

  "Namun, kami diberitahu petugas mereka juga tidak dibenarkan masuk ke Gaza. Hanya barangan bantuan dibenarkan. PBSM Mesir juga kini memusatkan operasi dan bantuan kecemasan mereka di Al-Arish," katanya.   

Menurut Johari, pasukan MCM sedikit kecewa kerana tidak mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa Mesir untuk menyertai konvoi tiga treler itu ke Al-Arish.  

"Namun, tugas dan amanah rakyat Malaysia akan tetap kami laksanakan. InsyaAllah selepas kami bertiga pulang ke tanah air, akan ada pasukan MCM yang menyambung tugas kami untuk fasa berikutnya.  

"Pastinya, fokus kami selepas ini ialah untuk ke Al-Arish dan seterusnya masuk ke Gaza jika mendapat lampu hijau," katanya.

Menurutnya, turut berkolaborasi dengan MCM untuk bantuan kecemasan kepada rakyat Palestin dalam perang kali ini ialah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Perdana Global Peace Foundation (PGPF), Pertubuhan Khidmat Umah (PKU) dan One Nation.  Selain itu, MCM turut menyertai Ops Ihsan dikoordinasikan Wisma Putra dengan gabungan 45 NGO Malaysia membabitkan penghantaran bantuan kecemasan sebanyak 50 tan bernilai RM7 juta dengan menggunakan pesawat udara yang dijadual terbang ke Al-Arish pada 3 November depan.

caption

Pix 1; Mohd Johari (kanan) menunjukkan kotak berisi makanan yang dimuat naik ke dalam treler di Kaherah, Mesir untuk dihantar ke Gaza.

Pix 2:Treler berukuran 12 meter panjang digunakan untuk membawa barangan sumbangan rakyat Malaysia melalui MCM ke Gaza.

Pix 3; Ahmad Safuan menunjukkan barangan makanan yang dibeli MCM di Mesir hasil sumbangan rakyat Malaysia untuk dihantar ke Gaza.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2023 @ 8:36 AM