ORANG ramai beratur di luar kedai roti di kem pelarian Nuseirat, tengah Gaza, yang sebahagiannya musnah susulan serangan udara Israel. FOTO AFP
ORANG ramai beratur di luar kedai roti di kem pelarian Nuseirat, tengah Gaza, yang sebahagiannya musnah susulan serangan udara Israel. FOTO AFP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kerajaan memantau rapat keputusan Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) meluluskan rang undang-undang (RUU) berhubung sekatan terhadap pihak luar yang menyokong Hamas dan pergerakan Jihad Islam Palestin pada Rabu.

Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, pihaknya akan melihat secara terperinci terlebih dahulu kandungan rang undang-undang berkenaan sebelum melaksanakan apa-apa tindakan susulan.

"Keadaan di Palestin semakin buruk sehingga hari ini jumlah kematian yang kita terima adalah lebih daripada 8,700 orang dan keadaan ini amat mengecewakan, manakala golongan yang hilang rumah mereka atau 'displaced people' sudah mencapai angka 1.4 juta orang kesemuanya, ini satu keadaan yang sangat menyedihkan.

"Di satu pihak pengeboman yang berterusan dilakukan manakala di satu pihak mereka bukan nak ambil jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah, malah meletakkan lagi dalam keadaan yang sukar untuk mencapai keputusan yang baik bagi kita menghentikan serangan-serangan ini dalam kadar segera bagi membolehkan bantuan-bantuan kemanusiaan mulai masuk," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Graduasi "Diploma in Diplomacy" (DiD) Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri di sini, semalam.

Katanya, penghantaran pertama bantuan kemanusiaan bagi rakyat Palestin di Gaza dijadual dihantar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Al-Arish, Mesir melalui penerbangan kargo sewaan khas, hari ini, seperti yang dijadualkan.

"Kita ucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa Mesir kerana dalam tempoh yang singkat mereka membenarkan bantuan dari Malaysia untuk sampai. Kebiasaannya bagi negara-negara lain untuk sampai ke Lapangan Terbang Al-Arish itu mengambil masa berhari-hari lebih kurang lima enam hari tetapi dalam konteks Malaysia, kita mendapat keputusan dalam 36 jam sahaja.

"... ia membolehkan kita membuat persiapan-persiapan untuk penghantaran ke lapangan terbang itu, daripada situ pihak berkuasa Mesir akan melakukan tindakan susulan bagi menghantar barangan ke Rafah," katanya.

Dalam masa sama, Zambry berkata Wisma Putra juga sedang berusaha sebaik mungkin untuk mengeluarkan seorang rakyat Malaysia Nurul Ain Haron serta suaminya yang sudah berada di Gaza sejak 1 Oktober lepas dengan kerjasama negara ketiga.

"Kita juga mendapat maklum balas tentang kemungkinan laluan di Rafah akan dibuka bagi membolehkan rakyat-rakyat dari luar negara dan mereka yang mempunyai dwikerakyatan iaitu rakyat Palestin dan negara lain untuk keluar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2023 @ 7:55 AM