Nur Izzati Mohamad

Nibong Tebal: Pulau Pinang berharap kerajaan pusat dapat meluluskan kertas cadangan bagi membolehkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memperoleh data dari semua agensi kerajaan untuk melaksanakan Bancian Pertanian 2024 (BP2024).

Exco Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi negeri, Fahmi Zainol berkata, bancian pertanian bertepatan dengan keadaan semasa yang sangat mendesak di samping memastikan sekuriti makanan terus terjamin.

Menurutnya, ia amat penting supaya kerajaan pusat dan negeri memperoleh maklumat lebih terperinci, sekali gus dapat menggubal dasar-dasar dalam membantu kelompok yang menceburi sektor ini secara menyeluruh.

"Bertepatan dengan keadaan sekarang (ketidaktentuan ekonomi) data (sebenarnya) satu perkara penting dan kalau cakap tentang ekonomi mesti cakap tentang data.

"Dalam hal ini, sektor pertanian selalu dipinggirkan apabila kali terakhir bancian dibuat adalah pada 2005 yang sudah hampir 18 tahun data ini tidak dikemaskini.

"Jadi hampir 18 tahun data ini tidak dikemaskini dan saya rasa kini sudah tiba masanya untuk DOSM melaksanakan bancian supaya negara mempunyai statistik terkini dalam sektor pertanian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Statistik Pertanian di Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kejuruteraan, di sini, hari ini yang turut dihadiri Pengarah DOSM negeri, Khairolnizam Hassan.

Katanya, statistik bancian dapat membantu kelompok dalam sektor pertanian yang bukan sahaja golongan pesawah, tetapi mereka yang terbabit dalam penternakan dan perikanan.

"Malah, saya percaya melalui bancian ini, kita dapat menjalin dan memperkukuh hubungan strategik antara agensi dengan komuniti pertanian sekali gus dapat mengawal lambakan tanaman," katanya.

Sementara itu, Khairolnizam berkata, pihaknya menganggarkan 10,000 kediaman akan terbabit dalam BP 2024 di negeri ini yang dijangka dilaksanakan selama tiga bulan mulai Julai hingga September tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2023 @ 3:32 PM
FAHMI (dua kanan) melawat reruai ketika hadir pada program Seminar Statistik Pertanian di Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kejuruteraan. FOTO Danial Saad
FAHMI (dua kanan) melawat reruai ketika hadir pada program Seminar Statistik Pertanian di Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kejuruteraan. FOTO Danial Saad