NOR Azmie (kanan) bersama Mohd Uzir (tengah) melawat reruai sempena Hari Statistik Negara 2023 di Stadium Sungai Besar.
NOR Azmie (kanan) bersama Mohd Uzir (tengah) melawat reruai sempena Hari Statistik Negara 2023 di Stadium Sungai Besar.
Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

Sungai Besar: Kementerian Ekonomi menganggap data dan statistik dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) adalah 'emas' baharu untuk Malaysia.

Ketua Setiausahanya, Datuk Nor Azmie Diron berkata, kedua-dua perkara itu sangat penting dan ia diraikan menerusi Hari Statistik Negara (HSN) yang disambut pada 20 Oktober setiap tahun.

"Sambutan ini merupakan satu manifestasi bahawa negara kita menghargai data dan statistik, selain perlu diuruskan dengan baik.

"Untuk itu, 'emas' yang kita ada ini dapat digunakan sebaiknya untuk kepentingan negara secara keseluruhannya," katanya.

Terdahulu, beliau yang mewakili Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian sambutan HSN 'Yuk Mampir' di Stadium Sungai Besar, Sabtu lalu.

Turut hadir, Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dan Pegawai Daerah Sabak Bernam Amri Ismail.

Dalam perkembangan berasingan, Nor Azmie berkata, bagi merancang dasar dan polisi keutamaan bekalan makanan negara, pihaknya akan menggunakan data dan statistik pertanian.

Beliau berkata, walaupun Malaysia mempunyai tanah yang subur untuk pertanian tetapi kos perbelanjaan import negara bagi makanan mencecah sehingga RM 40 bilion.

"Pengumpulan data ini penting dalam memberikan maklumat dan gambaran terbaik berkenaan keadaan terkini bidang pertanian," katanya.

Justeru, Nor Azmie meminta semua pihaknya di peringkat negeri memberi kerjasama kepada DoSM yang akan melaksanakan Bancian Pertanian 2024 (BP 2024) tahun depan.

"Dari segi progress, semua negeri terlibat di dalam usaha untuk BP 2024 nanti dan kita tidak akan tinggalkan mana-mana negeri.

"Untuk responden pula, kita turut akanusahakan sebanyak mungkin bagi membolehkan data yang dikumpul berasaskan atau bertepatan dengan pertanian di negara kita.

"Fokus dalam BP 2024 adalah melibatkan semua sektor," katanya.

PENGUNJUNG mencuba permainan semasa melawat reruai Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
PENGUNJUNG mencuba permainan semasa melawat reruai Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

DoSM sentiasa menyampaikan statistik terbaik

Sungai Besar: Sebanyak 1,180 penerbitan membabitkan perkhidmatan statistik dikeluarkan sehingga bulan ini.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, jumlah itu membabitkan 172 penerbitan bulanan, diikuti suku tahunan (54) dan tahunan (954).

"Pelbagai laporan merangkumi statistik ekonomi, sosial dan alam sekitar dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).

"DoSM sentiasa berusaha untuk menyampaikan dan menyebarkan perkhidmatan statistik yang terbaik dari semasa ke semasa," katanya ketika berucap pada majlis perasmian sambutan Hari Statistik Negara (HSN) "Yuk Mampir" di Stadium Sungai Besar, di sini, Sabtu lalu.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron mewakili Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dan Pegawai Daerah Sabak Bernam Amri Ismail.

Berhubung program berkenaan, Mohd Uzir berkata, sambutan itu julung kali diadakan di Selangor iaitu di daerah Sabak Bernam di mana sebelum itu di Muar, Johor dan Sungkai, Perak.

Pada masa sama, katanya, 14 DoSM negeri juga mengadakan sambutan serentak di negeri masing-masing.

"Berdasarkan statistik rasmi DoSM, Sabak Bernam mempunyai bilangan penduduk seramai 109,100 orang dengan 52.1 peratus lelaki dan 47.8 wanita.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 24.5 peratus adalah penduduk berusia 14 tahun dan ke bawah, diikuti 69.1 peratus (usia 15 hingga 64 tahun) dan 6.4 peratus (usia 65 tahun dan ke atas).

"Penduduk yang bekerja di daerah ini seramai 64,000 orang dan kadar penyertaan tenaga buruh adalah sebanyak 71.2 peratus," katanya.

Katanya, pelbagai program dan aktiviti dirancang selama tiga hari bersama rakan strategik DoSM iaitu Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) dan Perbadanan Menteri Besar (MBI).

Antaranya Debat Statistik, jualan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), pameran, sukan rakyat dan sukaneka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2023 @ 6:30 AM