Datuk Seri Mustapa Mohamed. FOTO arkib NSTP
Datuk Seri Mustapa Mohamed. FOTO arkib NSTP
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Pandemik Covid-19 meningkatkan kepentingan statistik dan lebih banyak data diperlukan untuk membantu kerajaan membuat keputusan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, statistik yang diperkatakan tidak berbohong dan terdapat keperluan untuk penyebaran data terperinci (granular) yang cepat dan telus kepada rakyat Malaysia.

"Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, kerajaan berusaha menangani kesan akibat Covid-19 dari sudut kesihatan dan ekonomi.

"Apa yang kita pelajari ialah terdapat keperluan hari ini untuk menyusun dan menyebarkan statistik 'granular' dan 'real-time' (waktu semasa).

"Sebagai contoh, dalam memberikan bantuan kepada rakyat, kita memerlukan mekanisme data yang lebih mantap bagi menjejaki perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME) dan kumpulan yang berada di bawah garis kemiskinan," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Statistik Malaysia ke-8 (MyStats) secara maya, hari ini.

Hadir sama, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Mustapa berkata, kepentingan statistik boleh membantu kerajaan memastikan makanan dapat tersedia pada meja setiap rakyat Malaysia.

"Seperti yang semua dalam komuniti statistik sedia maklum, terdapat perubahan dramatik dalam landskap sosio ekonomi negara kita.

"Badan pemikir bebas, masyarakat sivil (CSO) dan penyelidik, ditambah dengan peningkatan kesedaran politik rakyat Malaysia menuntut lebih banyak statistik dikeluarkan.

"Pandemik ini juga meningkatkan kepentingan statistik apabila orang ramai mahu mendapatkan maklumat terkini mengenai pengangguran dan inflasi, setiap bulan jika tidak setiap minggu dan statistik seperti yang diperkatakan, tidak berbohong," katanya.

Katanya, di tengah pandemik melanda negara dengan semua cabaran dihadapi berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP), tiada penerbitan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang terjejas.

"Semua 519 penerbitan pada 2020 dan 269 penerbitan pada tahun ini setakat 30 September bulan lalu sudah dikeluarkan tepat pada masanya.

"Sudah tentu kita menghadapi beberapa cabaran, terutamanya berkenaan dengan banci penduduk yang sepatutnya selesai pada 24 Oktober 2020, tetapi kerajaan terpaksa menangguhkannya beberapa kali.

"Sehingga 14 Oktober 2021, 90 peratus daripada penduduk diliputi dalam bancian dan DOSM tetap komited untuk menyelesaikannya pada akhir bulan ini, insya-Allah," katanya.

Menurutnya, statistik adalah sangat relevan kerana kerajaan memerlukan lebih banyak data sebagai mekanisme membuat keputusan.

"Marilah kita menghargai 'statisticians' di negara kita serta di seluruh dunia atas sumbangan mereka kepada kemajuan dunia.

"Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mewartakan 20 Oktober sebagai Hari Statistik Sedunia, yang disambut sekali dalam lima tahun. Bagaimanapun, Malaysia meraikan Hari Statistik Negara pada 20 Oktober setiap tahun untuk memupuk kepentingan statistik dalam kalangan rakyat," katanya.

Katanya, dia berharap persidangan hari ini menjadi platform untuk perbincangan dan perkongsian pengetahuan dalam kalangan ahli statistik, ekonomi, akademik, penyelidik dan pakar data yang bersidang secara maya.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata, Persidangan MyStats dianjurkan untuk membincangkan analisis dan penemuan baharu serta bertukar pandangan antara perangkawan, penyelidik, pakar statistik dan pengguna data dengan cabaran dalam penyusunan, penggunaan dan penyebaran statistik terkini.

"MyStats 2021 ini menghimpunkan pengamal statistik daripada pelbagai sektor dan pelaksanaannya secara maya mengikut SOP yang ditetapkan memberikan lebih banyak peluang penyertaan kepada peserta dalam mahupun luar negara," katanya.

Selain itu, katanya, sepanjang tempoh beberapa siri PKP 3.0 bermula tahun lalu, DOSM berjaya membekalkan maklumat dan laporan yang sangat berguna kepada umum hampir setiap hari.

"Antaranya ialah Laporan Soroton Statistik Ekonomi Malaysia (MESR) yang kini memasuki Siri Kelapan mengandungi 322 indikator ekonomi dan 61 laporan DOSM Intelligence Kajian Kes Impak PKP di lapangan mengikut sektor terpilih seperti Sektor Perkhidmatan, Pembinaan dan Pembuatan.

"DOSM tanpa henti membekalkan statistik ekonomi dan sosial kepada kerajaan bagi tujuan penggubalan dasar negara, pada 2020 saja, DOSM menerbitkan 499 penerbitan iaitu 184 penerbitan secara bulanan, 57 penerbitan secara suku tahunan dan 258 penerbitan secara tahunan dan berkala.

"Daripada 499 penerbitan ini, 204 daripadanya adalah penerbitan baharu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Oktober 2021 @ 11:34 AM