Izham Hashim berucap merasmikan Program Sesi Pemukiman Banci Pertanian 2024 bersama Agensi peringkat negeri di Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), hari ini. FOTO BERNAMA
Izham Hashim berucap merasmikan Program Sesi Pemukiman Banci Pertanian 2024 bersama Agensi peringkat negeri di Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), hari ini. FOTO BERNAMA
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Selangor membawa masuk beras import yang dijual pada harga Beras Putih Tempatan (BPT) bagi menampung keperluan beras di negeri ini.

EXCO Kemajuan Infrastruktur dan Permodenan Pertanian & Perladangan, Izham Hashim berkata beras berkenaan mula dijual minggu lalu menerusi program Jualan Ehsan Rahmah (JER).

"Hasil perbincangan dengan BERNAS, kita membawa masuk beras import yang kita jual pada harga BPT. Kita beli pada harga RM17 bagi lima kilogram dan kita jual pada harga siling, RM13.

"Kita beli agak banyak dan berperingkat untuk tampung program JER. Jualan beras ini kita akan diiteruskan untuk tempoh dua ke tiga bulan sehingga bekalan beras kembali stabil," katanya selepas Majlis Sesi Pemukiman Banci Pertanian 2024 bersama agensi peringkat Selangor di Wisma PKPS, hari ini.

Beliau berkata, bekalan beras di negeri ini dijangka lebih baik yang mana beliau difahamkan bahawa proses pengeluaran beras (proses penuaian padi) sudah bermula di Kedah dan Utara Selangor.

Sementara itu, Izham berkata Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Selangor akan melaksanakan bancian pertanian yang akan membabitkan 60,000 responden.

Katanya, proses bancian berkenaan penting untuk mendapatkan maklumat terperinci serta lengkap tentang sektor pertanian negeri.

"Data yang kita gunakan sekarang adalah dari 2005. Sudah 18 tahun, justeru kita laksanakan semula untuk jadikan pangkalan data bagi membuat keputusan penting terutamanya apabila keterjaminan makanan menjadi isu penting ketika ini.

"Tanpa maklumat, sukar untuk kita merancang apa tindakan susulan dalam memastikan keterjaminan makanan," katanya.

Mengulas lanjut, Izham berkata proses bancian itu akan dilaksanakan oleh lebih 200 pegawai sementara Jabatan Perangkaan Malaysia yang akan dimulakan pada Julai hingga September 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2023 @ 4:50 PM