Asrol Awang


Kuantan: Sebanyak 1.9 juta kediaman kosong direkodkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berdasarkan penemuan utama Banci Malaysia 2020.

Ketua Perangkawan DOSM, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, berbanding 2010, hanya 1.2 juta kediaman kosong direkod yang menunjukkan penambahan 700,000 kediaman.

Katanya, statistik keseluruhan kediaman di seluruh negara ialah 9.6 juta rumah.

"Statistik itu turut merekodkan sebanyak 18 peratus kediaman di Pahang yang dibeli tidak didiami sepenuhnya dan Melaka pula merekodkan lebih 30 peratus kediaman tidak didiami.

"Antara faktor ialah kediaman dibeli itu tidak didiami dan dijadikan sebagai rumah persinggahan, inap desa dan lain-lain kerana pemilik bekerja di tempat lain," katanya pada sidang media sempena Program Jelajah Banci Malaysia: Pahang Bersama Media di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Bancian Malaysia 2020 turut merekodkan penduduk negara ini berjumlah 32.4 juta orang.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 17 juta adalah golongan lelaki manakala 15.5 juta pula wanita.

"Nisbah jantina pula 113 lelaki bagi setiap 100 wanita," katanya.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata, DOSM membangunkan platform data terbuka generasi baru dikenali sebagai 'Kawasanku' yang mengandungi maklumat berkaitan profil demografi penduduk berdasarkan penemuan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020.

"Dengan mengakses Kawasanku melalui https://kawasanku.dosm.gov.my/, rakyat boleh mendapatkan maklumat berkaitan memaparkan statistik kependudukan dan indikator demografi serta sosioekonomi," katanya.

Platform Kawasanku boleh menjadi nadi kepada perancangan lebih khusus mengikut fokus di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) sebagai rujukan dan analisis perbandingan.

Kawasanku turut menyediakan perbandingan 'visualisation map' di peringkat Parlimen dan Dun untuk beberapa indikator antaranya maklumat kepadatan penduduk, pendapatan isi rumah, kadar kemiskinan, akses kepada bekalan elektrik dan air dan peratus permukaan diliputi hutan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Jun 2022 @ 3:42 PM