DR Mohd Uzir dan Dr Ismail (tengah) bersama sebahagian peserta ketika Program Penghijauan Malaysia sempena Banci Pertanian 2024 di Institut Latihan Statistik Malaysia (ILSM), Sungkai, Perak.
DR Mohd Uzir dan Dr Ismail (tengah) bersama sebahagian peserta ketika Program Penghijauan Malaysia sempena Banci Pertanian 2024 di Institut Latihan Statistik Malaysia (ILSM), Sungkai, Perak.
Oleh Rosman Shamsudin

Sungkai: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sebagai pengeluar statistik rasmi negara akan melaksanakan Banci Pertanian pada tahun hadapan selepas kali terakhir Malaysia menjalankan banci berkenaan pada tahun 2005.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, banci berskala besar berkenaan meliputi bancian ke atas isi rumah dan pertubuhan perniagaan yang terbabit dalam aktiviti pertanian.

Katanya, ia termasuklah tanaman makanan dan komoditi, ternakan, perikanan dan akuakultur, pembalakan serta perhutanan.

"Kali terakhir negara ini menjalankan Banci Pertanian adalah pada tahun 2005 iaitu hampir 20 tahun lalu.

"Maklumat utama yang akan dihasilkan daripada bancian berkenaan adalah demografi pegangan pertanian, keluasan tanah, sistem pengairan, pekerja, agro-pelancongan, kemudahan pembiayaan.

"Selain itu, termasuklah juga pendapatan dan pembelanjaan aset, amalan pertanian dan penggunaan teknologi, ekonomi digital dalam pemasaran serta aspek keterjaminan makanan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Penghijauan Malaysia sempena Banci Pertanian 2024 di Institut Latihan Statistik Malaysia (ILSM) dekat Sungkai, baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Dr Ismail Parlan, Timbalan Ketua Perangkawan, Program Sosial dan Pembangunan Teknikal, Nazaria Baharudin dan Timbalan Ketua Perangkawan, Program Ekonomi, Datin Seri Rozita Talha.

Sebanyak 350 anak pokok ditanam termasuk 220 anak pokok adalah sumbangan daripada FRIM dan bakinya infaq dalam kalangan anggota DOSM sempena program berkenaan.

DR Mohd Uzir (kanan) menanam anak pokok durian.

Dr Mohd Uzir berkata, memorandum jemaah menteri bagi perlaksanaan Banci Pertanian 2024 sudah dibentangkan dan diluluskan semasa Mesyuarat Jemaah Menteri pada 24 November lalu.

"Secara rasminya, DOSM telah mendapat satu punca kuasa bertulis untuk menggiatkan lagi kerja-kerja persediaan perlaksanaan Banci Pertanian 2024, khususnya pewartaan.

"Pelaksanaan banci berkenaan adalah sejajar dengan resolusi Food and Agriculture Organisation (FAO), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mengesyorkan semua negara melaksanakan Banci Pertanian dengan kekerapan sekali dalam tempoh 10 tahun.

"Contohnya, negara Australia, Kanada dan Republik Korea melaksanakan Banci Pertanian lima tahun sekali manakala Indonesia, Filipina, Thailand serta Sri Lanka pula melaksanakan bancian dengan kekerapan 10 tahun sekali," katanya.

Sehubungan itu, katanya pada tahun ini pihak DOSM menjalankan pelbagai sesi libat urus termasuk menyediakan soal selidik yang menepati keperluan agensi kementerian berkenaan untuk perancangan sebagai persediaan awal pelaksanaan banci terbabit.

Katanya, pihak DOSM berinteraksi lebih 200 agensi di peringkat persekutuan dan kira-kira 1,000 agensi di peringkat daerah.

"Alhamdulillah, selepas kita menjalankan sesi libat urus maka kita telah mengadakan pengambilan data yang terdapat di agensi berkenaan dan kini sedang diintergrasi.

"Banci Pertanian terakhir adalah pada tahun 2005 menyebabkan terdapat banyak jurang data dan data-data yang tidak konsisten yang akan diharmonikan serta membuat pemukiman Banci Pertanian membabitkan 156 daerah.

"Pada ketika ini, kita dapati terdapat 1.6 juta terbabit dalam sektor pertanian antaranya petani dan ada juga pertubuhan perniagaan termasuk syarikat besar," katanya.

Beliau berkata, bancian kali ini digabungjalinkan dengan data industri yang dikumpulkan melalui banci berkenaan antaranya membabitkan sektor perkilangan berkaitan pertanian serta menghubungkaitkan juga data eksport dan import untuk melihat ekosistem perdagangan negara.

PESERTA teruja dapat menanam anak pokok semasa Program Penghijauan Malaysia sempena Banci Pertanian 2024.

"Justeru, Program Penghijauan Malaysia ini menjadi simbolik kepada pelaksanaan Banci Pertanian yang akan dilaksanakan oleh DOSM pada tahun hadapan, selain menyokong komitmen kerajaan terhadap kelestarian alam," katanya.

Inisiatif ini bukan sahaja menggambarkan komitmen DOSM terhadap kelestarian alam, tetapi juga seiring dengan agenda nasional yang memberi penekanan kepada kepentingan kawasan hijau.

Malah, ia selaras dengan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok yang dilaksanakan oleh Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) dalam tempoh lima tahun bermula 2021 hingga 2025.

Sementara itu, Dr Ismail pula berkata, tujuan kempen berkenaan adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang peri pentingnya memelihara kawasan hijau yang dipenuhi pokok di seluruh negara.

"Matlamat kempen ini juga adalah untuk membangkitkan rasa cinta dan menghargai alam semulajadi serta meningkatkan pemahaman tentang penyelesaian berasaskan alam semulajadi untuk mewujudkan kehidupan yang lebih lestari.

"Sehingga hari ini, kita berjaya menanam lebih 80 juta pokok di seluruh negara yang membabitkan pelbagai agensi dan pihak serta kita masih mempunyai masa selama dua tahun untuk mencapai sasaran 100 juta pokok menjelang tahun 2025," katanya.

Beliau berkata, kerjasama antara pihak DOSM dan FRIM akan berterusan pada masa akan datang dalam mendokong matlamat pembangunan mampan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Disember 2023 @ 5:28 PM