MUSTAPA (tengah) bersama  Dr Mohd Uzir (kiri) pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Statistik Negara dan Sedunia serta Persidangan Statistik Malaysia  secara maya di Jabatan Perangkaan Malaysia.
MUSTAPA (tengah) bersama Dr Mohd Uzir (kiri) pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Statistik Negara dan Sedunia serta Persidangan Statistik Malaysia secara maya di Jabatan Perangkaan Malaysia.
Bisnes hmetro

Kuala Lumpur: Kerajaan akan menubuhkan Pusat Analitik Data Raya Negara bagi memastikan setiap perancangan dan pembuat keputusan berlandaskan analitis data selaras dengan inisiatif Kerajaan Digital.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, penubuhan pusat yang akan mengukuhkan sistem statistik negara itu adalah dengan kerjasama Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) serta kementerian berkaitan.

"Sistem statistik negara perlu diperkukuhkan bagi memastikan data yang ada diselaraskan dan dapat digunakan kerajaan dalam merangka dasar atau membuat keputusan.

"Pengukuhan ini akan memberikan impak positif antaranya menjamin ketersediaan data lebih komprehensif di sektor kerajaan dalam merangka dasar jangka pendek dan jangka panjang negara.

"Ia turut bertujuan meningkatkan kepakaran analitikal berkaitan semua bidang ekonomi, sosial dan demografi dalam kalangan pegawai di semua kementerian serta agensi," katanya ketika merasmikan sambutan Hari Statistik Negara & Sedunia dan Persidangan Statistik Malaysia 2020 yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) semalam.

Hadir sama, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin; Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Ghaffour; dan Presiden Institut Statistik Malaysia, Prof Dr Ibrahim Mohamed.

Pada 9 September lalu, jemaah Menteri telah bersetuju untuk memperkasakan sistem statistik negara dengan Kabinet meluluskan penubuhan Majlis Statistik dan Data Negara (MSDN) sebagai badan penasihat tertinggi yang berperanan memberi hala tuju sistem statistik negara dan penyelarasan maklumat.

Perdana Menteri akan mempengerusikan mesyuarat pertama MSDN yang turut dianggotai oleh beberapa menteri, wakil daripada kerajaan dan swasta.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2020 @ 7:00 AM