Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di Menara SSM@Sentral, Kuala Lumpur.
Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di Menara SSM@Sentral, Kuala Lumpur.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menyarankan kepada bakal pelabur yang ingin membuat pelaburan membuat keputusan yang selaras dengan objektif kewangan dan toleransi risiko mereka bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

SSM berkata, bakal pelabur perlu ada kesedaran bahawa semua pelaburan dalam mana-mana skim mempunyai beberapa tahap risiko dan tiada jaminan pulangan.

Menurutnya, antara perkara yang perlu dikaji sebelum bakal pelabur membuat sebarang pelaburan termasuk menilai tahap risiko yang berkaitan dengan skim, dengan mengambil kira faktor seperti turun naik pasaran, keadaan ekonomi, dan risiko khusus yang digariskan dalam prospektus.

"Tentukan objektif pelaburan, sama ada mencapai kekayaan, penjanaan pendapatan atau pemeliharaan modal, dan selaraskan pilihan pelaburan dengan sewajarnya.

"Pertimbangkan jangka masa pelaburan, sama ada jangka pendek, jangka sederhana atau jangka panjang, kerana pelaburan yang berbeza mungkin lebih sesuai untuk untuk masa yang berbeza," katanya kepada Harian Metro.

Menurut SSM, bahagikan pelaburan kepada aset dan industri berbeza untuk mengurangkan risiko. Kepelbagaian boleh membantu mengurangkan kerugian jika satu pelaburan berprestasi rendah.

"Selain itu, pelabur perlu menilai kemudahan akses kepada dana dilaburkan apabila perlu. Sesetengah pelaburan mungkin mempunyai tempoh terkunci atau likuiditi terhad.

"Pelabur juga perlu berhati-hati dengan sebarang yuran, caj atau komisen berkaitan pelaburan kerana ia boleh memberi kesan kepada pulangan keseluruhan," katanya.

Katanya, fahami implikasi cukai pelaburan, kerana skim yang berbeza mungkin mempunyai cukai yang berbeza.

"Mereka yang ingin melabur juga perlu menjalankan penyelidikan menyeluruh mengenai produk pelaburan, syarikat pengeluar dan pasukan pengurusan.

"Semak prestasi sejarah dan pertimbangkan pendapat pakar bagi memastikan bahawa skim dan pengeluarnya mematuhi undang-undang dan peraturan yang berkaitan," katanya.

Tambahnya, pertimbangkan untuk mendapatkan nasihat daripada penasihat kewangan atau profesional pelaburan yang boleh memberikan panduan yang disesuaikan berdasarkan situasi dan matlamat kewangan bakal pelabur.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Oktober 2023 @ 10:45 AM