Jumlah kerugian dialami mangsa taktik penipuan pelaburan dianggarkan lebih RM1 bilion.
Jumlah kerugian dialami mangsa taktik penipuan pelaburan dianggarkan lebih RM1 bilion.
Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur:Ejen syarikat yang menawarkan pelaburan kononnya patuh syariah sering dilihat muncul dengan penampilan hebat memakai sut berjenama dan mempamerkan kenderaan mewah serta rumah besar.

Gambaran inilah yang menyebabkan orang ramai mudah untuk terperdaya apabila menganggap dengan menyertai skim pelaburan itu, mereka akan menjadi kaya dengan pantas tanpa perlu berusaha gigih.

Berikutan sambutan hangat dan menggalakkan masyarakat, syarikat pelaburan ala patuh syariah muncul ibarat cendawan tumbuh selepas hujan di negara ini.

Perkara itu didedahkan Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia (MHO) Datuk Hishamuddin Hashim yang berkata, skim pelaburan seumpama itu sudah wujud sejak 2015, tetapi semakin trending pada tahun ini.

Menurutnya, semakan pihaknya mendapati terdapat lebih 200 syarikat menawarkan skim patuh syariah ini.

Bagaimanapun, katanya, terdapat antara enam hingga tujuh syarikat kini berada dalam radar MHO susulan aduan yang diterima daripada mangsa yang mendakwa ditipu membabitkan kerugian dianggarkan mencecah RM1 bilion.

Beliau berkata, setakat ini terdapat lebih 500 laporan polis sudah dibuat mangsa di seluruh negara.

"Sindiket penipuan ini menggunakan syarikat berdaftar di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan syarikat ala patuh syariah dengan menawarkan skim pelaburan sah di sisi undang-undang.

"Pelaburan terbabit bermodelkan tabung amanah dan Islamic Redeemable Share (i-RPS) serta deposit memorandum maklumat termasuk sijil kewangan Islam (Sukuk). Ini berdasarkan semakan di SSM dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

"Mereka juga menggunakan nama besar dan individu kenamaan serta pesara kerajaan, selain menggunakan nama institusi perbankan terkemuka.

"Taktik ini menyebabkan ramai tertipu kerana yakin syarikat yang mereka labur itu sah disebabkan ada sijil patuh syariah dan kebenaran SC.

"Ada yang melabur berjuta-juta ringgit dan sebenarnya mereka ini bukanlah orang kaya tapi menggunakan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Bukan sedikit yang dilaburkan kerana jumlah minimum pelaburan ini adalah RM250,000," katanya.

Mengulas lanjut, Hishamuddin berkata, sindiket terbabit disyaki mengambil kesempatan terhadap dokumen memorandum maklumat yang disah terima oleh SC bagi memperdaya pelabur.

Ini kerana, katanya, kebanyakan pelabur terkeliru antara prospektus dan memorandum maklumat yang dikeluarkan sesebuah syarikat sehingga membuat pelaburan.

Beliau berkata, terdapat perbezaan antara dua dokumen berkenaan yang mana prospektus adalah dokumen untuk penawaran saham yang diluluskan oleh SC, manakala memorandum maklumat bagi syarikat menawarkan pelaburan RM250,000 ke atas.

"Syarikat akan menghantar serah memorandum maklumat kepada SC untuk perhatian sebelum disah terima oleh SC. Dokumen memorandum maklumat ini menjelaskan mengenai butiran pelaburan tapi ia tidak dikawal selia SC, seperti mana prospektus.

"Kekeliruan inilah yang menyebabkan pelabur membuat pelaburan kerana menyangka memorandum maklumat bermaksud syarikat berkenaan sudah diluluskan SC," katanya.

Sedangkan, beliau berkata, SC tidak bertanggungjawab terhadap kerugian yang dialami pelabur kerana mereka dikategori sebagai pelabur sofistikated.

Menurut Hishamuddin, sehingga kini ratusan syarikat pelaburan itu masih aktif memperdaya mangsa dan beliau bimbang sekiranya tiada tindakan oleh pihak berkuasa, lebih ramai menjadi mangsa.

Justeru, beliau memohon SC dan SSM sebagai agensi yang mengawal selia skim pelaburan mengikut Akta Skim Kepentingan 2016 mengambil tindakan tegas terhadap lebih 200 syarikat yang masih berleluasa memperdaya orang ramai.

Selain itu, tindakan lanjut juga boleh diambil Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengikut kesalahan penipuan, pecah amanah serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001.

MHO akan terus memperjuangkan nasib mangsa dan berharap ada tindakan lanjut oleh pihak kerajaan bagi mengekang penipuan pelaburan itu daripada berleluasa sekali gus mengakibatkan lebih ramai menjadi mangsa.

Hishamuddin.
Hishamuddin.

Sanggup guna nama Islamik untuk perangkap mangsa

Guna nama Islamik dan yakinkan pelaburan mereka patuh syariah. Itu taktik sindiket pelaburan untuk memerangkap mangsa supaya melabur dengan mereka.

Berperwatakan baik dan seperti orang alim mereka akan menyakinkan pelaburan yang dijalankan itu halal dan patuh syariah bagi mengaburi mata pelabur supaya yakin dengan syarikat mereka.

Namun selepas mangsa mula melabur, akhirnya daripada ingin mendapat keuntungan diberkati Allah, akhirnya mereka Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, didapati sindiket menggunakan nama pelaburan patuh syariah dan Islamik adalah bagi menarik lebih ramai mangsa.

Menurutnya, daripada siasatan yang dijalankan didapati pelaburan terbabit tidak wujud dan tiada sebarang maklumat syarikat yang disebut.

"Bagi tempoh dari 2021 hingga tahun ini, sebanyak 131 laporan polis diterima membabitkan pelaburan berbentuk Islamik dengan nilai kerugian sebanyak RM30,300,349.

"Pada 2021 sebanyak 12 laporan diterima dengan nilai kerugian RM123,430, namun meningkat menjadi 112 laporan pada tahun lalu dengan kerugian RM30,150,194 dan tahun ini sudah merekodkan tiga kes membabitkan kerugian RM26,725," katanya kepada Harian Metro.

Ramli berkata, pihak polis mengambil tindakan yang serius terhadap suspek yang terbabit dan akan dituduh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan 'menipu' yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat dan juga boleh dikenakan denda.

'Termakan' janji dividen 38.4% setahun

Penawaran pelaburan patuh syariah dan menjanjikan keuntungan setiap bulan.

Malah, syarikat pelaburan saham yang berselindung di sebalik konsep saham boleh tebus Islamik atau Islamic Redeemable Shares (RPS-i) itu ternyata berjaya memperdaya ribuan mangsa.

Dengan barisan pemimpin hebat, berpengaruh dan menggunakan dokumen deposit memorandum maklumat daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), selain menawarkan dividen tinggi, menarik minat ramai pelabur.

Bukan itu saja, ejen pelaburan turut dikatakan meyakinkan mangsa melalui kemewahan seperti kereta import, aksesori berjenama mewah dan rumah besar.

Itu taktik digunakan sindiket penipuan pelaburan yang seakan meniru apa pernah dilakukan oleh syarikat multilevel marketing (MLM) atau jualan langsung suatu masa dahulu yang dilihat berjaya 'memancing' mangsa.

Difahamkan, syarikat didalangi warga tempatan dan berselindung di sebalik konsep pelaburan patuh syariah itu sudah memperdaya lebih 4,000 pelabur membabitkan kerugian berbilion ringgit.

Seorang daripada mangsanya yang mahu dikenali sebagai Rais, 64, mendakwa mengalami kerugian sebanyak RM250,000 selepas melabur di sebuah syarikat yang menawarkan pelaburan berkonsep i-RPS kira-kira dua tahun lalu.

Pesara swasta itu berkata, semuanya bermula selepas dia menyertai seminar web yang diperkenalkan rakannya pada November 2021.

"Terdapat beberapa pakej penjualan saham yang ditawarkan di mana tempoh matang pegangan saham berbeza mengikut pakej dipilih.

"Mereka menawarkan pulangan dividen sehingga 38.4 peratus setahun atau 3.2 peratus setiap bulan.

"Saya tertarik dengan tawaran dikemukakan tapi saya buat semakan latar belakang syarikat itu terlebih dahulu bagi mengelak daripada tertipu.

"Saya dapati syarikat berkenaan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan ahli lembaga pengarah juga bukan calang-calang orang terdiri daripada individu berpengaruh dalam sektor ekonomi.

"Berikutan itu, saya yakin syarikat berkenaan sah lalu membuat pelaburan pada Disember 2021," katanya kepada Harian Metro.

Bercerita lanjut, katanya, dia menerima pembayaran dividen sejurus membuat pelaburan pada Disember sehingga Mac 2022.

Menurutnya, sebulan selepas itu pembayaran mula terhenti dan dia menerima notis daripada syarikat yang mendakwa membuat tebusan pelaburan dan akan mengembalikan semula wangnya.

200 mangsa desak SSM buat siasatan

Kira-kira 200 mangsa penipuan skim pelaburan yang kecewa selepas tiada tindakan diambil pihak berkuasa ke atas syarikat pelaburan, sekali lagi tampil ke Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendesak supaya siasatan dilakukan.

Kumpulan yang dibawa oleh Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia (MHO) itu mahu siasatan dijalankan mengikut Akta Skim Kepentingan 2016 (Akta 778) bagi membolehkan syarikat berkenaan dikenakan tindakan undang-undang.

Pemandu e-hailing, Osman Asri, 57, mendakwa mengalami kerugian RM20,000 selepas melabur ke dalam sebuah syarikat pelaburan yang diperkenalkan oleh rakannya pada 2021.

Menurutnya, rakan yang juga ejen syarikat pelaburan itu meyakinkan dia mengenai pelaburan berkonsep boleh tebus Islamik.

"Ketika itu, saya baru dapat wang persaraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan saya melabur sebahagian daripadanya untuk menambah pendapatan bulanan.

"Saya sempat menerima pulangan keuntungan bulanan RM500 selama setahun. Selepas kontrak pelaburan tamat, saya minta untuk tebus semula dan tidak mahu menyambung kontrak.

"Syarikat dakwa sudah tebus semula pelaburan saya tetapi mereka tidak pulangkan wang pelaburan itu sehingga kini.

"Apabila saya hubungi syarikat, pelbagai alasan diberikan termasuk meminta saya bersabar," katanya ditemui di Menara SSM di sini, semalam.

Seorang lagi mangsa yang enggan dikenali berkata, dia dan anak yang juga atlet negara kerugian RM150,000 selepas terpedaya dengan ejen syarikat pelaburan berkenaan.

Lelaki berusia 50-an itu mendakwa didatangi ejen syarikat itu yang memperkenalkan diri sebagai kakitangan sebuah institusi perbankan dan menawarkan pelaburan yang memberi keuntungan antara tiga hingga empat peratus sebulan.

"Saya sangka pelaburan itu di institusi perbankan berkenaan tetapi sebenarnya di syarikat pelaburan luar. Tapi disebabkan sudah tandatangan perjanjian, saya teruskan dan sempat menerima pulangan selama tiga bulan.

"Selepas itu, saya tidak lagi menerima pulangan daripada pelaburan sehingga kini dan terpaksa menanggung kerugian," katanya yang berharap SSM menjalankan siasatan lanjut.

Sementara itu, Setiausaha Agung MHO Datuk Hishamuddin Hashim berkata, mangsa pernah dibawa membuat aduan di SSM pada Mac lalu dan hadir semula kali ini bagi menyerahkan penyataan tambahan mengenai penipuan dilakukan syarikat pelaburan itu.

"Sehingga kini, belum ada sebarang pengesahan dikeluarkan oleh SSM sama ada syarikat pelaburan terbabit berdaftar di bawah Akta 778 atau sebaliknya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Jun 2023 @ 12:00 PM