Mohd Nasif Badruddin dan Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail


Kuala Lumpur: Tawar pulangan pelaburan lumayan mencecah RM1 juta selepas tempoh 10 tahun. Itu janji sebuah syarikat yang menjalankan skim pelaburan melalui penanaman pokok kurma di Kelantan, Terengganu dan Johor.

Setiap pelabur akan memperoleh keuntungan mengikut bilangan pokok kurma yang hendak dilabur iaitu RM3,000 hingga RM5,000 bagi setiap batang pokok ditanam.

Syarikat itu kemudian akan menguruskan penanaman serta penjagaan pokok sehingga mendapat hasil tuaian.

Syarikat mendakwa akan membeli semula hasil tanaman berdasarkan kualiti dan saiz buah kurma, manakala pulangan pelaburan dikira bergantung kepada jumlah kilogram yang dihasilkan satu pokok kurma yang dijangka meningkat setiap tahun.

Kegiatan itu bagaimanapun diambil tindakan jam 10 pagi semalam, susulan risikan dilakukan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sejak tiga bulan lalu di premis syarikat itu di MidValley, di sini.

Ketika serbuan dilakukan, SSM mendapati terdapat kira-kira 20 pekerja yang bertugas sebagai operator pemasaran dengan menghubungi bakal pelabur berdasarkan nama dan nombor telefon yang didakwa diberikan ketua mereka.

Sekiranya berjaya mendapatkan pelabur, pekerja terbabit akan diberikan insentif sebanyak RM50.

Difahamkan, kebanyakan daripada pekerja itu adalah pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan mereka diberikan skrip khas untuk memujuk bakal pelabur menyertai skim mereka.

Malah, ketika pegawai penyiasat sedang melakukan siasatan terdapat seorang gadis berusia lingkungan 20-an datang ke pejabat itu untuk menghadiri temu duga jawatan eksekutif pemasaran korporat.

Gadis terbabit mendakwa mengetahui iklan jawatan kosong itu di akhbar dan menghubungi nombor dinyatakan untuk tindakan lanjut.

Dia mendakwa diarahkan datang ke pejabat syarikat itu semalam dan dijanjikan gaji permulaan RM3,000 termasuk elaun lain tanpa mengetahui aktiviti sebenar syarikat itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Penguatkuasaan dan Kawal Selia) SSM, Nor Azimah Abdul Aziz berkata, hasil semakan dilakukan mendapati skim pelaburan pokok kurma ditawarkan syarikat terbabit tidak berdaftar dengan SSM atau mana-mana agensi penguatkuasaan di negara ini.

Katanya, syarikat yang beroperasi sejak 2015 itu berdaftar dengan SSM, tetapi skim pelaburan yang ditawarkan tidak berdaftar seperti yang disyaratkan.

“Syarikat ini disiasat mengikut Akta Skim Kepentingan 2016 (Akta 778) dan sekiranya sabit kesalahan boleh didenda RM50 juta dan penjara selama 10 tahun.

“Apa yang pasti syarikat ini melakukan kesalahan kerana tidak mendaftar skim pelaburan ditawarkan dengan SSM. Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan sama ada wujud kesalahan lain mengikut undang-undang agensi penguat kuasa berkaitan, termasuk pengambilan deposit tanpa kebenaran dan pengubahan wang haram,” katanya.

Katanya, SSM menasihatkan orang ramai supaya menyemak dahulu kesahihan sesuatu pelaburan yang ditawarkan dan tidak terburu-buru melabur dalam skim yang menawarkan pulangan tinggi serta tidak munasabah dalam jangka masa pendek.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2017 @ 6:12 AM
ANGGOTA penguat kuasa melakukan serbuan di syarikat yang menawarkan skim pelaburan penanaman pokok kurma.
ANGGOTA penguat kuasa melakukan serbuan di syarikat yang menawarkan skim pelaburan penanaman pokok kurma.