LUMUT 13 OGOS 2022. Kapal LCS yang masih di dalam pembinaan ketika lawatan media ke tapak pembinaan kapal Littoral Combat Ship (LCS) di Boustead Naval Shipyard (BNS) Lumut, Perak. NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
LUMUT 13 OGOS 2022. Kapal LCS yang masih di dalam pembinaan ketika lawatan media ke tapak pembinaan kapal Littoral Combat Ship (LCS) di Boustead Naval Shipyard (BNS) Lumut, Perak. NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
Suraya Ali


Kuala Lumpur: Kementerian Pertahanan (Mindef) menafikan pihaknya membelakangkan Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam menandatangani Perjanjian Tambahan Keenam (SA6), sebaliknya menegaskan AGC sentiasa dilibatkan dan memberi kerjasama yang sangat baik dalam proses memuktamadkan draf SA6.

Dalam kenyataan hari ini, Mindef menjelaskan, beberapa agensi termasuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNSSB) dan AGC, melaksanakan beberapa siri perbincangan serta mesyuarat berkaitan draf SA6 sejak April 2023.

Katanya, siri perbincangan itu berlangsung selepas keputusan hala tuju projek terbabit diluluskan Jemaah Menteri pada 19 April 2023.

"Hasil semua libat urus ini, Mindef menerima ulasan AGC melalui surat bertarikh 24 Mei 2023 di mana empat (4) perkara utama telah dibangkitkan iaitu (1) Progress Payment Plan, (2) Integrated Logistic Support (ILS), (3) Detailed Design dan (4) Liquidated Ascertained Damages (LAD), bersama-sama cadangan pindaan yang lain.

"Kementerian Pertahanan mengambil kira kesemua perkara itu dan pindaan berkaitan telah dibuat. Kementerian juga mengambil perhatian serius akan kandungan laporan yang dikeluarkan dan akan memberikan maklum balas kepada enam (6) syor yang telah disenaraikan," katanya.

Laporan Kemajuan Projek Pembangunan Kapal Peronda Generasi Kedua – Littoral Combat Ship (LCS) TLDM di bawah Kementerian Pertahanan bagi tempoh Oktober 2022 hingga Mei 2023 dikeluarkan oleh PAC di Dewan Rakyat semalam.

PAC mengesyorkan supaya Kementerian Pertahanan memastikan pelaksanaan pelan mobilisasi mengikut syarat yang sudah ditetapkan dengan kapal pertama LCS disiapkan pada Mei 2024 dan diserahkan kepada TLDM pada Ogos 2026.

Katanya, Mindef perlu memastikan kontraktor pembinaan menyiapkan 'detailed design' sepenuhnya termasuk mendapat kelulusan daripada Naval Group (NG) sebelum Ogos 2024 seperti yang terkandung dalam SA6, disamping kerajaan juga perlu memastikan pengambilalihan BNS oleh Ocean Sunshine Bhd mencapai matlamat asal pelaksanaannya.

PAC dalam kenyataannya berkata, Mindef dan TLDM bertanggungjawab memastikan keseluruhan projek pembinaan lima LCS bernilai RM11.22 bilion disiapkan serta diserahkan kepada TLDM mengikut tempoh dan kos yang sudah dipersetujui dalam SA6.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2023 @ 12:49 PM