KAPAL Tempur Pesisir sewaktu upacara penamaan dan pelancaran di dermaga Boustead Naval Shipyard, pangkalan TLDM Lumut, pada 24 Ogos 2017. FOTO arkib NSTP
KAPAL Tempur Pesisir sewaktu upacara penamaan dan pelancaran di dermaga Boustead Naval Shipyard, pangkalan TLDM Lumut, pada 24 Ogos 2017. FOTO arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Seorang bekas pengarah urusan sebuah syarikat perkapalan dan juga bekas pegawai tertinggi tentera dijangka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, esok, berhubung projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Lelaki berusia hampir 80 tahun itu akan didakwa atas tiga pertuduhan membabitkan kesalahan pecah amanah mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Difahamkan, lelaki itu akan dibawa ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada jam 9 pagi dan berdasarkan semakan di sistem mahkamah kes itu akan didengar di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Terdahulu, pendedahan laporan PAC bahawa LCS tercanggih pertama milik TLDM yang pernah dilancarkan pada 2017 dalam keadaan tidak siap, mengejutkan banyak pihak.

Projek pembinaan LCS adalah perolehan terbesar dalam sejarah Kementerian Pertahanan dengan kos keseluruhan sebanyak RM9 bilion.

Kontrak bagi projek itu bermula pada 2013 dan dijangka siap dalam masa 10 tahun.

PAC dalam laporannya menyatakan, kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) yang dilaksanakan secara runding terus namun tiada kapal yang diterima setakat ini.

Memetik kenyataan Pengerusi PAC, Wong Kah Woh, mendedahkan lebihan kos projek LCS berjumlah RM1.4 bilion dengan RM400 juta digunakan untuk membayar hutang lama daripada projek kapal peronda lama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2022 @ 6:42 PM