GAMBAR fail, 13 Ogos 2022. FOTO NSTP
GAMBAR fail, 13 Ogos 2022. FOTO NSTP
Suzalina Halid


Kuala Lumpur: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mahu kontraktor pembinaan Kapal Peronda Generasi Kedua (LCS) serta pasukan projek terbabit mengambil langkah proaktif untuk mengatasi masalah kelewatan yang masih dilaporkan berlaku kini.

Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pendedahan mengenai kelewatan pembinaan itu yang dimaklumkan melalui Prosiding Tindakan Susulan projek terbabit, hari ini, adalah mengejutkan dan membimbangkan.

Beliau berkata, susulan itu, Kementerian Pertahanan (Mindef) memberi jaminan akan mengambil tindakan segera dalam memastikan isu kelewatan LCS dapat diatasi.

"PAC Parlimen memandang serius isu kelewatan kemajuan pembinaan LCS milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan memerlukan pemantauan kemajuan yang teliti serta berkala.

"Jawatankuasa ini, bagaimanapun menyambut baik kenyataan Ketua Setiausaha Mindef Datuk Seri Isham Ishak bahawa kementerian itu akan mengambil tindakan segera dalam memastikan isu kelewatan berkenaan dapat diatasi," katanya melalui kenyataan, hari ini.

Kemajuan projek pembinaan kapal LCS dimaklumkan kepada PAC hari ini, dalam Prosiding Tindakan Susulan Mindef terhadap dua syor laporan PAC iaitu berhubung kemajuan projek pembinaan kapal LCS bagi tempoh Oktober 2022 hingga Mei 2023 dan Jun hingga September 2023.

Pada masa sama, Mas Ermieyati berkata, tempoh kelewatan pembinaan kapal LCS itu bagaimanapun tidak dapat didedahkan buat masa ini bagi mematuhi Peraturan Mesyuarat 85 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Beliau berkata, PAC dijangka membentangkan laporan mengenai prosiding hari ini dalam Laporan Tindakan Susulan Mindef terhadap syor PAC berkaitan kapal LCS dalam sidang Dewan Rakyat, bermula 26 Februari ini.

Dalam perkembangan sama, katanya jawatankuasa ini juga dimaklumkan bahawa kapal LCS 1 (KD Maharajalela) hanya akan diserahkan kepada TLDM pada Oktober 2026.

"Dalam prosiding berkenaan PAC turut dimaklumkan bahawa ujian diumumkan kepada media sebelum ini, yang dijangka dilaksanakan antara bulan Mei dan Jun ini, adalah ujian peralatan yang perlu dilakukan kontraktor pembinaan.

"Ia perlu dilakukan sebaik kapal berada di atas air bagi memastikan kapal LCS benar- benar bersedia sebelum diserahkan kepada TLDM," katanya.

Selain Isham, turut hadir dalam prosiding itu ialah Ketua Pasukan Projek LCS Laksamana Ir Ts Franklin Jeyasekhar Joseph dan Ketua Pegawai Eksekutif Boustead Naval Shipyard, Kepten Ir (B) Azhar Jumaat.

Sebelum ini, Mindef diarah membentangkan laporan kemajuan Projek Pembangunan Kapal LCS setiap tiga bulan kepada PAC sehingga projek itu disempurnakan.

Itu adalah antara lima syor penambahbaikan PAC terhadap Laporan Kemajuan Projek Pembangunan LCS TLDM di bawah Mindef bagi tempoh Jun hingga September 2023.

Ogos 2022, PAC mendedahkan laporan isu perolehan kapal LCS kepada umum selain menyarankan tujuh langkah termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan terhadap dapatan laporan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2024 @ 7:00 PM