Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Laporan dikeluarkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), hari ini mengenai projek kapal tempur pesisir atau Littoral Combat Ship (LCS) akan diteliti sebaik mungkin.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, kementeriannya (Mindef) juga akan mengambil kira semua syor yang dikemukakan PAC dalam meneruskan projek LCS selepas ini.

"Pada April lalu, Kabinet bersetuju dengan Pelan Pemulihan Projek LCS yang membenarkan tempoh mobilisasi dilaksanakan selama enam bulan bagi membolehkan rundingan dibuat dengan pihak pengeluaran produk tulen (OEM) dan vendor.

"Seterusnya akan memuktamadkan perancangan ke hadapan perolehan LCS seperti yang diperlukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

"Kerajaan juga menubuhkan Jawatankuasa Tadbir Urus Khas yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan (MOF) serta Ketua Setiausaha Mindef bagi memantau secara dekat terutama tempoh proses mobilisasi dan melaporkan perkembangannya kepada Kabinet," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, Mindef sudah memberi kerjasama penuh dan sentiasa telus ketika menghadiri prosiding serta proses siasatan PAC.

Hishammuddin berkata, kementerian itu juga konsisten untuk memastikan sebarang salah laku, kelemahan dan penyelewengan dalam pelaksanaan projek LCS dibawa ke muka pengadilan.

"Siapa jua yang bersalah tetap bersalah dan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih berjalan. Ini bermakna pihak yang terlibat salah laku dalam projek sebelum ini, tidak akan terlepas begitu sahaja.

"PAC sendiri mengesyorkan supaya SPRM mempercepatkan siasatan dan menyegerakan pendakwaan.

"Perkara utama kini ialah memastikan projek LCS dapat diteruskan dengan lancar yang menjadi aset penting demi keselamatan perairan negara, sejajar dengan Program Transformasi Armada 15 to 5, dan demi kepentingan TLDM," katanya.

Terdahulu, Pengerusi PAC Wong Kah Woh dilapor berkata, kontrak projek LCS diberikan oleh kerajaan kepada syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) secara rundingan terus.

Katanya, kajian daya maju yang dilakukan oleh kerajaan terhadap syarikat BNS untuk pembinaan lima kapal LCS gagal mengesan masalah kewangan syarikat berkenaan.

Ia dibuktikan apabila kerajaan terpaksa membuat bayaran pendahuluan sehingga RM1.36 bilion kepada BNS, bertentangan dengan Surat Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 5 Tahun 2007 yang berkuat kuasa ketika itu.

PAC juga mendapati terma kontrak adalah lemah dan tidak memihak kepada kerajaan yang mana pembayaran projek LCS berdasarkan kemajuan aktiviti atau pembekalan item dan bukan berdasarkan kemajuan sebenar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Ogos 2022 @ 5:17 PM