Izz Laily Hussein


Kota Tinggi: Akta khusus untuk Suruhanjaya Kanak-Kanak akan dibahaskan dalam mesyuarat Kabinet, bulan ini sebagai usaha melindungi dan menyelesaikan isu berkaitan kanak-kanak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kertas berkaitan suruhanjaya di bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) itu akan dibawa ke jemaah menteri bagi tujuan melaksanakan pindaan undang-undang.

Menurutnya, pindaan itu penting sebagai usaha melindungi dan menyelesaikan isu-isu berkaitan golongan kanak-kanak.

"Kita akan bawa kertas itu (Suruhanjaya Kanak-kanak) di bawah Akta Suhakam sebab akta itu kita mahu buat pindaan, kita hendak buat pindaan semua sekali.

"Dalam bulan ini, kita rancang mungkin ia dapat dibahaskan dan diluluskan pada sesi (Kabinet) ini," katanya yang ditemui ketika Majlis Pra Pelancaran Pusat Penuaan Aktif Parlimen Pengerang, di sini, hari ini.

Menurut Azalina, Akta Suhakam sebelum ini dilihat mencukupi, namun terdapat permohonan supaya ia dinaik taraf bagi memberi lebih kuasa kepada agensi berkaitan dalam menjalankan siasatan.

"Sebenarnya Akta Suhakam mencukupi, tetapi banyak permohonan NGO (badan bukan kerajaan) dan suruhanjaya sendiri yang mahukan Akta Suhakam itu dinaik taraf.

"Ini membolehkan siasatan kepada agensi terlibat mendapat kuasa yang lebih. Dengan adanya Suruhanjaya Kanak-kanak, kita nak supaya adanya satu bab khas di bawah akta dan disebut sebagai satu seksyen kepada Suruhanjaya Kanak-kanak di bawah Akta Suhakam," katanya.

Suruhanjaya Kanak-kanak ialah badan pemantau dalam segala aspek isu kanak-kanak yang mana menyenaraikan undang-undang merangkumi isu kanak-kanak termasuk isu keselamatan, kesihatan dan kebajikan.

Peranan Suruhanjaya Kanak-kanak juga untuk menilai semula dasar-dasar kerajaan apabila mengendalikan isu berkaitan kanak-kanak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2023 @ 11:54 AM
 Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said ketika sidang media selepas Majlis Pra Pelancaran Pusat Penuaan Aktif Parlimen Pengerang di Stadium Penawar, Kota tinggi, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said ketika sidang media selepas Majlis Pra Pelancaran Pusat Penuaan Aktif Parlimen Pengerang di Stadium Penawar, Kota tinggi, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN