NANCY bercakap kepada media selepas Program Jelajah Kasih Keluarga Segulai Sejalai di Kampung Muara Tebas, Kuching. FOTO Mohd Roji Kawi
NANCY bercakap kepada media selepas Program Jelajah Kasih Keluarga Segulai Sejalai di Kampung Muara Tebas, Kuching. FOTO Mohd Roji Kawi
Mohd Roji Kawi

Kuching: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengemukakan hukuman setimpal terhadap pesalah kes penderaan dan seksual kanak-kanak di dalam Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Kanak-Kanak Malaysia yang akan dibentangkan di Parlimen, bulan depan.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, walaupun RUU itu bukan di bawah KPWKM, pihaknya perlu mengemukakan cadangan itu bagi memastikan undang-undang yang lebih efektif bagi menangani isu membabitkan penderaan kanak-kanak.

Menurutnya, cadangan itu dibuat agar hukuman yang dikenakan terhadap pesalah selari dengan peruntukan yang terkandung Akta Kanak-Kanak 2001 (Pindaan 2016).

"RUU Suruhanjaya Kanak-Kanak Malaysia itu akan dibentangkan oleh kementerian lain (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said).

"Kami di KPWKM sebagai kementerian yang bertanggungjawab terhadap isu kanak-kanak tidak terbabit secara langsung dalam penggubalan RUU itu kerana tidak mahu berlaku duplikasi antara suruhanjaya itu nanti dengan kementerian kami, sebab itu kami sekadar mengemukakan beberapa cadangan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Perasmian Program Jelajah Kasih WcaRe@LPPKN Segulai Sejalai di Dewan Masyarakat, Kampung Muara Tebas, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Azalina dilaporkan berkata, RUU Suruhanjaya Kanak-Kanak Malaysia itu akan dibentangkan Oktober ini.

Azalina menerusi ciapan di X (dulu Twitter) berkata, pihaknya berbesar hati menerima cadangan daripada organisasi masyarakat awam dan hak kanak-kanak mengenai perkara berkenaan.

Mengulas lanjut, Nancy berkata, antara yang dicadangkan pihaknya ialah hukuman sebat bagi kes penderaan kanak-kanak berikutan peningkatan membimbangkan kes itu ketika ini.

"Walaupun RUU itu bukan di bawah KPWKM, tetapi kami mahu hukuman lebih berat diperuntukkan, misalnya sebatan.

"Memang akan ada yang tidak setuju (hukuman sebatan), tetapi jika kena (mangsa dera) pada keluarga mereka sendiri, baru mereka akan tahu rasanya.

"Ketika membuat cadangan itu, kami tidak memutuskan secara melulu, tetapi ia dibuat selepas dibincangkan dengan beberapa pihak," katanya.

Mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 pesalah kes penderaan kanak-kanak tidak dikenakan hukuman sebatan, sebaliknya hanya memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, mengenai program berkenaan, Nancy berkata, ia bagi meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan melakukan saringan awal bagi mengesan kanser payudara dan kanser serviks.

"KPWKM menerusi LPPKN menyediakan subsidi bersasar untuk ujian mamogram dan HPV DNA ini bagi mereka yang layak, terutamanya golongan B40 di 49 Klinik Nur Sejahtera (KNS) LPPKN di seluruh negara.

"Insiden kanser serviks meningkat selepas umur 30 tahun dan berdasarkan Malaysia National Cancer Registry Report 2012 – 2016, Sarawak saja mencatatkan kadar insiden kanser serviks yang paling tinggi iaitu 9.6 kes bagi setiap 100,000 orang wanita setiap tahun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 September 2023 @ 3:06 PM