Mohamad Ali Hasan
Mohamad Ali Hasan
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu mewujudkan jawatankuasa keselamatan di tempat kerja seperti yang dikehendaki oleh keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) bagi mengelakkan berlakunya kes kemalangan dihempap tiang gol di sekolah.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata, jawatankuasa ini perlulah memeriksa, memantau tahap keselamatan dan keadaan sekolah yang boleh menyebabkan berlakunya kemalangan.

Menurutnya, kejadian seorang murid berusia 11 tahun meninggal dunia selepas ditimpa besi palang gol juga pernah berlaku sebelum ini dan ia bukan merupakan perkara baru.

"Ini bukan perkara baru, tetapi perkara yang berterusan. Kita berasa terkilan, sepatutnya tidak berlaku (lagi).

"Kita harap KPM mewajibkan sekolah menubuhkan jawatankuasa keselamatan di tempat kerja dan memantau hal-hal keselamatan bukan sahaja di sekitar sekolah, tetapi di makmal, prasarana sukan dan riadah supaya perkara seperti ini tidak berulang serta dapat dihindar.

"Jawatankuasa ini mesti melaporkan dari semasa ke semasa kepada pihak pengetua atau guru besar sekolah. Mungkin salinan (laporan) boleh diberikan kepada PPD (Pejabat Pendidikan Daerah)," katanya kepada Harian Metro hari ini.

Sebelum ini dilaporkan, seorang murid berusia 11 tahun meninggal dunia selepas ditimpa besi palang gol ketika aktiviti kokurikulum bersama rakan sekelasnya di Sekolah Kebangsaan St Anthony, Bintulu.

Mengulas lanjut, Mohamad Ali berkata, jawatankuasa ini boleh dianggotai oleh guru, wakil PIBG, alumni dan dipengerusikan oleh pengetua atau guru besar.

Dalam pada itu, Mohamad Ali berpendapat, guru pendidikan jasmani dan guru disiplin sekolah sepatutnya melihat atau memantau keadaan infrastruktur dalam keadaan sebaik mungkin sebelum memulakan aktiviti kokurikulum berkait kes itu.

"Satu siasatan rapi perlu dilakukan oleh pihak sekolah dan membuat rekomendasi tentang tindakan yang perlu diambil segera serta jangka masa panjang untuk memastikan keselamatan pelajar khususnya yang menjalankan kegiatan sukan dan riadah di sekitar sekolah selamat dan tidak terancam dengan perkara seperti ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2023 @ 4:56 PM