Seniman popular era 1980-an, Dharma Harun Al-Rashid. FOTO ROHANIS SHUKRI
Seniman popular era 1980-an, Dharma Harun Al-Rashid. FOTO ROHANIS SHUKRI
Oleh Norhayati Nordin


Kuala Lumpur : "Kalaulah ada stesen TV yang beli, tentu nasib saya tidak begini," kata pelakon era 1980-an, Dharma Harun Al-Rashid, 68, menyifatkan ujian masalah kewangan dihadapinya ketika ini disebabkan program televisyen yang sudah siap diterbitkan syarikat produksinya, WWS Studios tidak mahu dibeli stesen TV.

Dharma berkata, WWS Studios masih ada satu program televisyen berkonsepkan 'game show' yang dibuat pada 2016 dan siap sepenuhnya pada 2018, namun sehingga kini masih tidak terjual akibat tiada stesen TV yang ingin membeli.

"Sebab yang saya jadi susah ini sebenarnya kalau ada stesen TV bayar (beli program), saya tak jadi begini. Bayangkan ya, saya ada satu program yang berharga RM400,000, dah siap semua tapi apabila hantar ke tiap-tiap stesen TV, semuanya tak mahu (beli).

"Kenapa? Mereka tolak kerana ia menggunakan wang dana duit daripada Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia). Saya rasa mereka ingat duit Finas ini duit Yahudi ke?

"Tak tahulah nak kata apa? Cuma, sekarang ini saya ada barang (program TV) yang bernilai RM400,000 dan cuba mereka (stesen TV) ada yang beli, saya macam ini tak? Mestilah tidak begini, sebab saya ada duit," katanya kepada Harian Metro.

Bapa dua anak ini berkata, program 'game show' dinamakan Wira-Wira Kasa itu adalah terbitan pertama WWS Studios sebelum Deko Ibadah yang diterbitkan pada 2022 sebanyak 13 episod dengan menggunakan dana Finas juga.

"Apa yang menarik mengenai 'gameshow' ini, WWS Studios mendapat kerjasama daripada PDRM (Polis Diraja Malaysia) yang memaparkan pasukan anggota polis berentap melakukan sembilan 'game' dalam setiap episod untuk jadi pemenang.

"Saya sebenarnya pernah cuba menjual program Wira-Wira Kasa ini kepada sebuah stesen TV, tetapi mereka tolak kerana tahu saya mendapat dana daripada Finas untuk terbitkannya," katanya.

Dharma berkata, dia sedih apabila mengenangkan betapa susah untuknya menjual program yang sudah siap dihasilkan, namun stesen TV tempatan pula bersikap tidak mahu beli dan terus terperamlah produk itu.

"Saya cuba juga membuat perbincangan semula dengan stesen TV yang dikenal pasti sekiranya mereka berminat dan ada rezeki untuk saya menjual produk siap yang sudah lama diterbitkan WWS Studios," katanya.

Baru-baru ini, Dharma yang popular dengan filem Adik Manja dan Sikit Punya Gila berhadapan masalah kewangan apabila gagal membayar sewa rumah tertunggak sebanyak RM7,500.

Malah, Dharma dan keluarganya juga ketika itu sudah menerima notis untuk mengosongkan kediaman yang disewanya di Wangsa Maju sehingga hujung Jun ini daripada pemilik.

Bagaimanapun, dua anaknya iaitu Siti Qurratu Aini, 36, dan Muhammad Al Syafiq Mohamad Azman, 35, tidak bekerja kerana masih belajar di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

Sejak kisah masalah kewangan dihadapi itu tular, Dharma menjadi perhatian ramai termasuk beberapa pihak seperti Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Pusat Zakat dan Yayasan Budi tampil membantunya.

Dharma memaklumkan dia sudah mulunaskan sepenuhnya jumlah sewa tertunggak itu serta tidak bercadang mahu berpindah ke kediaman lain apabila memilih terus menetap di rumah berkenaan selagi mampu menyewanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2024 @ 1:27 PM