Foto hiasan
Foto hiasan
Amirul Aiman Hamsuddin

Kuala Selangor: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menempatkan guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puncak Alam di sini, ke Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) hingga siasatan berhubung mengeluarkan kata-kata tidak wajar ketika melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) selesai.

KPM menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan, pihaknya mengambil maklum mengenai laporan polis yang dibuat pelajar berhubung kejadian pada 24 April lalu itu.

"Memandangkan insiden tersebut dalam siasatan polis, KPM tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan sepanjang tempoh siasatan.

"Ketika ini, KPM menempatkan guru berkenaan di JPNS sehingga siasatan terbabit selesai. Tindakan seterusnya bergantung kepada hasil siasatan," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, KPM juga akan meneliti secara terperinci perkara yang tular mengenai komen yang didakwa dibuat pengetua SMK Puncak Alam itu terhadap pelajar berkenaan menerusi Facebook (FB).

"KPM mengesahkan laporan polis dibuat pengetua terbabit di Balai Polis Kuala Selangor. Beliau menafikan ada memuat naik komen berkenaan dan mengesyaki FB miliknya digodam," katanya.

Sementara itu, mengenai Surat Pemberitahuan Ketidakhadiran ke Sekolah, KPM menjelaskan sekolah terbabit mengeluarkan enam surat kepada pelajar berkenaan pada 16 hingga 30 April lalu.

"Pemantauan kehadiran pelajar ke sekolah dilaksanakan melalui Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM).

"Sekiranya pelajar tidak hadir ke sekolah selama tiga hari berturut-turut atau 10 hari tidak berturut-turut tanpa mengemukakan sebab secara bertulis kepada pihak sekolah, guru melalui sistem ini akan menjana Surat Pemberitahuan Ketidakhadiran ke Sekolah: Amaran Pertama.

"Surat ini kemudian akan dipos kepada ibu bapa atau penjaga pelajar berkenaan," katanya.

Menurut kenyataan itu, surat pemberitahuan itu dikeluarkan bertujuan memastikan ibu bapa atau penjaga dan pihak sekolah mengetahui serta cakna akan kehadiran dan keberadaan pelajar ketika sesi persekolahan.

"Tindakan ini membolehkan KPM memantau kemungkinan berlaku keciciran dalam kalangan murid dan mengambil tindakan intervensi sewajarnya," katanya.

Sehubungan itu, KPM menegaskan pihaknya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan dan kebajikan pelajar serta seluruh warga sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Mei 2021 @ 12:23 PM