GAMBAR hiasan. FOTO Ghazali Kori.
GAMBAR hiasan. FOTO Ghazali Kori.
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Semua pihak perlu menunggu siasatan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) berhubung program di sebuah sekolah yang didakwa memaparkan unsur ekstremisme ketika program solidariti Palestin, sebelum membuat sebarang kesimpulan.

Presiden Ikatan Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan berkata, ini kerana kes tersebut bukan membabitkan semua sekolah, sebaliknya kes terpencil.

"Pihak KPM telah mengeluarkan garis panduan pelaksanaan program ini dan semua sekolah perlu mematuhi garis panduan tersebut.

"Pihak sekolah khususnya pentadbir perlu memastikan pelaksanaan program tersebut mengikut SOP (prosedur operasi standard) dan berada dalam kawalan," katanya kepada Harian Metro.

Sebelum ini, tular rakaman video di media sosial mengenai program di sebuah sekolah yang memaparkan unsur ekstremisme bagi menyatakan sokongan kepada rakyat Palestin.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek kemudiannya berkata, pihaknya sudah mengarahkan siasatan menyeluruh dilakukan ke atas sekolah berkenaan, seterusnya membuat laporan mengikut garis panduan ditetapkan.

Dalam pada itu, Mohd Azizee turut menyangkal dakwaan sesetengah yang menyatakan Minggu Solidariti Palestin yang dianjurkan berunsur keganasan atau ekstrim.

"Ini kerana minggu ini dianjurkan secara penuh aman tanpa ada unsur agresif dan ekstrim.

"Ia perlu dilihat secara positif kerana isu Palestin adalah isu antarabangsa, isu kemanusiaan dan ketidakadilan serta hak asasi manusia yang menuntut kebebasan yang hakiki.

"Tujuan dianjurkan untuk menyemai nilai positif, menghargai keamanan, memaknai kemerdekaan, nilai perjuangan dan menolak segala bentuk kekerasan, kezaliman dan ketidakperikemanusiaan," katanya.

Menurutnya, ia juga merupakan nilai yang disepakati bersama tanpa mengira kaum atau agama.

"I-guru menggesa agar jangan ada mana-mana pihak menimbulkan unsur provokatif dan meraih laba politik dengan pelaksanaan Minggu Solidariti Palestin serta memecah belahkan kesatuan solidariti Malaysia untuk Palestin," katanya.

Dalam pada itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan pula berpandangan, Minggu Solidariti Palestin yang dianjurkan bertujuan memaparkan realiti semasa keadaan yang berlaku di negara itu bagi mengingatkan orang ramai kesengsaraan yang dihadapi oleh mereka.

"Sepatutnya sebagai pendidik, guru, pelajar, murid, ibu bapa atau penjaga kita patuh kepada garis panduan yang dikeluarkan oleh KPM.

"Kita khuatir jika diberikan kebebasan mutlak beberapa perkara akan berlaku pertamanya situasi agresif dan tidak terkawal menyebabkan ketidaktenteraman persekitaran.

"Kedua imej negatif tujuan dijalankan perhimpunan aman, ketiga mesej sebenar tidak kesampaian dan keempat pihak luar mengambil kesempatan mengeruhkan kedamaian setempat dan negara," katanya.

Menurutnya, pihak penganjur seharusnya memantau, menilai dan mengingatkan semua pihak agar niat serta tujuan himpunan solidariti tercapai sepenuhnya.

"Dan tidak menimbulkan reaksi negatif atau songsang terpahat di sanubari bukan sahaja kepada mereka yang mengambil bahagian tetapi juga yang 'pasif' melihatnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2023 @ 7:07 PM