Azman Ismail
Azman Ismail
Sharifah Mahsinah Abdullah


Kota Bharu: Lapan pengusaha stesen minyak di Kelantan dikenakan kompaun berjumlah RM24,000 kerana menjual bahan api itu kepada individu untuk tujuan penyeludupan.

Pengusaha stesen minyak yang bersubahat dengan individu dipercayai penyeludup diberi notis kompaun menerusi operasi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan.

Pengarahnya, Azman Ismail berkata, lapan stesen minyak itu berada dalam jarak 25 kilometer (km) dari sempadan dan kompaun dikeluarkan antara Januari hingga 29 Jun lalu.

"Kompaun dikeluarkan kerana mereka melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961. Selain itu, lima lagi kes masih dalam siasatan.

"Dalam tempoh sama, kita merampas sebanyak 30,000 liter RON95 dan 68,000 liter diesel," katanya.

Mengulas mengenai Ops Tiris, beliau berkata, sebanyak 443 kes direkodkan sejak awal tahun ini dengan rampasan barangan bernilai kira-kira RM3 juta.

Beliau berkata, lebih 100 orang ditahan dalam operasi itu dan mereka terdiri daripada warga tempatan dan asing.

"Dalam operasi itu, kita sudah memeriksa 39,650 premis dan 12,263 kenderaan. Daripada 12,263 itu, 205 kenderaan dirampas dipercayai digunakan dalam aktiviti penyeludupan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2024 @ 1:03 PM