Usahawan tani, Muhammad Syafiq Madzlan menunjukkan kangkung hidroponik yang ditanam di kebun sayur hidroponik di Kampung Gong Kepas, di Besut. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
Usahawan tani, Muhammad Syafiq Madzlan menunjukkan kangkung hidroponik yang ditanam di kebun sayur hidroponik di Kampung Gong Kepas, di Besut. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
Nurul Fatihah Sulaini


Besut: Keputusan dua sahabat untuk menjaga orang tua yang sakit di kampung memberi ilham kepada mereka menceburi tanaman kangkung hidroponik.

Muhammad Syafiq Madzlan, 29, berkata, dia memilih tinggal di kampung selepas menamatkan pengajian kerana mahu menjaga bapa, Madzlan Mat Amin, 65, yang sakit terlantar kerana angin ahmar.

Katanya, sebelum ini dia menamatkan pengajian dalam bidang Ijazah Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

"Kebetulan sahabat baik saya, Zulfitri Ahmad, 27, kenalan ketika di universiti juga turut memilih berhijrah ke kampung kerana mahu menjaga ibunya yang uzur.

"Kami masih bekerja dalam bidang masing-masing tetapi tidak terikat dengan masa justeru itu memilih menceburi bidang pertanian untuk mengisi masa lapang," katanya ketika ditemui di Kampung Gong Kepas, di sini, semalam.

Dia berkata, mereka mula mengusahakan tanaman itu sejak Januari lalu dan mengambil masa kira-kira empat bulan untuk melakukan kerja pembersihan tanah serta persediaan projek tanaman.

"Kami mula tanam kangkung sejak Mei dan berjaya mengeluarkan hasil tanaman seminggu tiga kali jumlah keseluruhan sekitar satu tan sebulan dengan nilai kira-kira RM4,000.

"Proses penjagaan tanaman hidroponik lebih mudah serta teratur berbanding cara tradisional kerana saya hanya perlu memantau melalui telefon serta kamera liter tertutup (CCTV).

"Bekalan air juga akan dipasang berterusan bermula jam 8 pagi sehingga 7 malam dan dikawal sepenuhnya menggunakan sistem serta alat kawalan jauh melalui telefon," katanya.

Syafiq yang juga anak bongsu daripada lapan beradik berkata, hasil kangkung mereka lebih segar serta tidak diancam dengan serangga perosak berbanding kangkung ditanam di tanah.

"Setiap satu meja ini boleh menghasilkan 60 kilogram kangkung dan setiap minggu kami mampu menghasilkan 300 kilogram secara berjadual," katanya.

Sementara itu, rakannya, Zulfitri berkata, mereka berhasrat untuk mempelbagaikan tanaman selepas ini antaranya sawi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2024 @ 1:11 PM