Mohammad Haikal diiringi polis meninggalkan Kompleks Mahkamah Muar selepas sebutan kes bunuh Bella di Mahkamah Tinggi. FOTO Alias Abd Rani
Mohammad Haikal diiringi polis meninggalkan Kompleks Mahkamah Muar selepas sebutan kes bunuh Bella di Mahkamah Tinggi. FOTO Alias Abd Rani
Alias Abd Rani

Muar: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menetapkan 10 hari tempoh perbicaraan yang dihadapi bekas posmen yang dituduh membunuh teman wanitanya pada Disember tahun lalu.

Hakim Suria Kumar DJ Paul menetapkan perbicaraan kes itu akan bermula Julai tahun depan selepas prosiding sebutan pertama kes bunuh yang dihadapi tertuduh, Mohammad Haikal Mahfuz, 24, yang berlangsung hari ini.

Tarikh-tarikh yang ditetapkan bagi perbicaraan itu adalah pada 1 hingga 3 Julai, 13 dan 14 Julai serta 27 hingga 31 Julai dengan 24 hingga 27 saksi pendakwaan akan dikemukakan sepanjang perbicaraan itu.

Terdahulu, Mohammad Haikal yang juga teman lelaki Bella atau Mila Sharmila Samsusah mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Suria Kumar.

Mengikut pertuduhan, Mohammad Haikal didakwa membunuh Mila Sharmila, 32, antara Jalan Kelapa Barli, Taman Soga sehingga Jalan Parit Besar di Kampung Parit Besar dan sebuah rumah terbiar di Lorong Imam Jailani, Tongkang Pechah.

Kejadian itu berlaku pada 11 malam hingga 5 pagi antara 14 hingga 15 Disember tahun lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau pemenjaraan bagi tempoh tidak kurang 30 tahun atau tidak melebihi 40 tahun, sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati serta sebatan tidak kurang 12 kali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Putera Amirool Faez Suhasi, manakala Mohammad Haikal diwakili peguam Syahril Anuar Harun dan Afnan Nazim.

Hadir sama dalam prosiding hari ini adalah peguam pemerhati yang dilantik keluarga Bella, Nur Aminahtul Mardiah Md Nor dan Nurul Hafidzah Hassan.

Sebelum itu, ketika ditanya mengenai status dokumen, Putera Amirool memaklumkan sebahagian daripadanya belum diterima.

Justeru, Putera Amirool memohon mahkamah untuk menetapkan tarikh baru bagi sebutan semula serta penyerahan dokumen.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 17 Julai ini untuk urusan terbabit.

Mohammad Haikal hadir ke mahkamah dengan berbaju T putih sambil diiringi anggota polis bagi mendengar sebutan itu.

Turut kelihatan kedua-dua ibu bapa tertuduh serta keluarga terdekat Bella termasuk kakaknya, Norhisham Samsusah, 36, yang menunggu di luar mahkamah sejak 8.30 pagi.

Bella yang juga ibu tunggal dua anak dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah sewanya di Taman Soga, Batu Pahat, pada malam 14 Disember tahun lalu.

Kehilangan Bella akhirnya terungkai apabila polis menemukan rangka kurang sempurna di dalam sebuah rumah sewa di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah di sini, 19 Disember lalu.

Penemuan mayat itu susulan penahanan tertuduh sejurus lelaki itu tiba di tanah air selepas menunaikan umrah bersama keluarganya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2024 @ 1:47 PM