Sarjan Mohd Ameruddin Yusoof hadir di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Sarjan Mohd Ameruddin Yusoof hadir di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Mahkamah Sesyen di sini hari ini, mengarahkan seorang anggota polis berpangkat Sarjan yang didakwa menerima rasuah lima tahun lalu supaya membela diri.

Hakim Dazuki Ali membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan terhadap tertuduh, Mohd Ameruddin Yusoof, 32.

Mahkamah kemudian menetapkan 27 dan 30 Oktober depan sebagai tarikh untuk tertuduh membela diri.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Tengku Nurul Haziqah Tuan Yacob, manakala tertuduh diwakili peguam bela Datuk Shukri Mohamed.

Tertuduh yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh didakwa secara rasuah meminta suapan RM5,000 daripada seorang lelaki untuk membebaskan dua individu yang ditangkap atas kesalahan memiliki ketum.

Kesalahan itu dilakukan di Kampung Lembah Semerak, dekat Pasir Puteh, jam 1 tengah hari, pada 1 April 2019.

Kes itu didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Pertuduhan kedua, anggota polis itu didakwa menerima suapan RM5,000 daripada lelaki yang sama untuk membebaskan dua individu yang memiliki ketum di Bandar Baru Pasir Puteh, lebih kurang 6.50 petang, pada 1 April 2021.

Pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2024 @ 1:13 PM