LAPORAN terdahulu Harian Metro
LAPORAN terdahulu Harian Metro
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Siasatan dan pemeriksaan terperinci berkait kes kemalangan dihempap tiang gol di sekolah perlu dilaksanakan bagi memastikan tragedi murid berusia 11 tahun maut ketika aktiviti kokurikulum di Sekolah Kebangsaan St Anthony, Bintulu di Sarawak (kelmarin) tidak lagi berlaku.

Pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Shahronizam Noordin berkata, penambahbaikan perlu dilakukan kerana hampir setiap tahun kes seperti itu berlaku dan kebanyakannya membabitkan kematian.

Beliau berkata, kes kemalangan dihempap tiang gol di sekolah yang membabitkan kematian ini direkodkan pernah berlaku pada Mac dan April 2000, Januari 2008, November 2010, September 2011, Julai 2013, April 2014, Julai 2016, September 2018 dan Oktober 2022.

"Terkini (kelmarin) masih juga berlaku. Apakah punca sebenarnya yang boleh menyebabkan kemalangan?

"Adakah berpunca daripada perilaku tidak selamat atau keadaan tidak selamat seperti reka bentuknya (tiang gol)?" katanya menerusi hantaran di Facebooknya, hari ini.

Shahronizam juga mencadangkan supaya reka bentuk tiang gol perlu dipastikan selamat, terutama pada bingkai tiang gol itu dan pemasangan jaring.

"Ia mestilah cukup selamat untuk menahan sebarang hentakan bola supaya (tiang gol) tidak tumbang. Mempunyai sudut yang betul agar dapat seimbang dengan pemberat.

"Selain itu, jaring juga hendaklah dipasang pada bingkai (tiang gol) tanpa tegang dan tali penegang atas hendaklah dipasang pada jaring supaya ia tidak tertanggal. Jaring yang dipasang hendaklah bebas, supaya apabila bola masuk ke dalam tiang gol ia tidak boleh melantun keluar serta-merta," katanya.

Beliau yakin sekiranya tiang gol direka sedemikian, ia dapat mengelak kemalangan dan kecederaan kepada sesiapa sahaja.

"Sebarang cangkuk atau bucu tajam yang ada perlu dipasang dengan penutup. Kedudukan tiang gol mestilah tetap kekal, sama ada ia digunakan atau tidak bagi mengelakkan risiko terbalik.

"Begitu juga, ia mestilah dilarang bagi mana-mana orang (terutamanya murid) untuk memanjat jaring atau bingkai tiang gol.

"Sebelum menggunakan tiang gol, periksa keadaan bingkai dan persekitarannya. Pemeriksaan ini perlu dilaksanakan secara berkala atau sekerap mungkin sebelum digunakan. Jika ia berisiko jangan diguna dan segera dibaiki," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2023 @ 1:44 PM