Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kajang: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan sedang memfokuskan kepada empat perkara bagi memperkasakan haluan pendidikan negara.

Empat perkara itu adalah Kurikulum Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM); program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET); Bahasa Inggeris dan digital.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menggesa semua pihak memberikan sokongan untuk memperkukuhkan ekosistem pendidikan negara khususnya empat hala tuju itu.

Katanya, pandangan ibu bapa yang mahukan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) juga didengari tetapi KPM kini sedang memperkukuhkan pentaksiran serta hala tuju berkenaan.

"Haluan negara ketika ini adalah STEM, TVET, Bahasa Inggeris dan digital. Jadi kita minta semua memberikan sepenuh sokongan untuk ekosistem kita khususnya hala tuju negara yang empat ini supaya dapat bersama-sama memperkukuhkan lagi pendidikan kita.

"Ketika ini juga, yang paling penting adalah melihat peluasan prasekolah yang sedang kita terajui di peringkat KPM," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina dan Penyerahan Cek Cura BAP Peringkat Selangor di Sekolah Menengah Kebangsaan Yu Hua di sini hari ini.

FADHLINA menyampaikan ucapan pada Majlis Sambutan Tahun Baru Cina dan Penyerahan Cek Bantuan Awal Persekolahan 2024 di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Yu Hua, Kajang. FOTO Aizuddin Saad
FADHLINA menyampaikan ucapan pada Majlis Sambutan Tahun Baru Cina dan Penyerahan Cek Bantuan Awal Persekolahan 2024 di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Yu Hua, Kajang. FOTO Aizuddin Saad

Sebelum ini, wujud desakan daripada ibu bapa agar UPSR dan PT3 dikembalikan semula.

Sementara itu, mengulas mengenai tindakan seorang bapa yang memarahi dan mengugut guru kerana mengambil tindakan terhadap anaknya yang merokok di sebuah sekolah di Sabah, Fadhlina berkata, perkara itu sudah diambil tindakan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah.

"Kes itu dalam siasatan (polis). Tindakan telah diambil di peringkat JPN Sabah," katanya.

Sebelum ini dilaporkan, seorang guru berusia 40 tahun dipercayai menangkap pelajar yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika merokok dalam tandas sekolah.

Pelajar itu kemudian menghubungi bapanya meminta datang ke sekolah sebelum lelaki tersebut menyerang guru berkenaan.

Bapa pelajar itu kemudiannya ditahan oleh pihak polis selepas menerima laporan daripada guru terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2024 @ 11:56 AM