Menteri Sumber Manusia, Steven Sim. FOTO AIZUDDIN SAAD
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim. FOTO AIZUDDIN SAAD
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Kadar kecederaan pekerjaan bagi Malaysia adalah terendah berbanding beberapa negara lain seperti Jepun, United Kingdom dan Australia, kata Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.

Menurutnya, data Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) pada 2022 menunjukkan 34,216 kes kecederaan direkod sektor pekerjaan di negara ini, dengan kadar 2.22 per 1,000 pekerja.

Selain itu, katanya, JKKP juga sentiasa mengambil tindakan proaktif bagi memastikan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dipertingkatkan.

"Pelbagai inisiatif telah dibangunkan dan akan terus dilaksanakan seiring dengan penguatkuasaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Pindaan 2022 yang telah bermula dikuatkuasakan pada 1 Jun 2024," katanya menerusi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) mengenai jumlah kemalangan berkaitan keselamatan kesihatan pekerjaan yang telah direkodkan.

Awang turut bertanya pendekatan terkini yang diambil oleh kementerian dalam meningkatkan kesedaran mengenai KKP dalam kalangan majikan termasuk PKS.

Mengulas lanjut, Steven Sim berkata, antara program telah dan sedang dilaksanakan berkaitan PKS adalah OSH Compliance Support yang bermula sejak 2009 bagi meningkatkan tahap KKP.

Katanya, program lain adalah pelaksanaan pengurusan KKP yang bersistematik iaitu verifikasi dan peningkatan aras secara berperingkat untuk PKS (Solve 4 SME).

"Program Solve 4 SME ini telah menyasarkan penyertaan sebanyak 1,000 tempat kerja PKS dalam tempoh lima tahun iaitu dari tahun 2021 sehingga 2025.

"Sehingga Mei 2024, sebanyak 1,167 tempat kerja PKS di seluruh Malaysia telah menyertai program ini yang secara tidak langsung memberi manfaat kepada 70,824 orang pekerja di PKS," katanya.

Selain itu katanya, menerusi Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan 2022) melalui Seksyen 29A juga telah menetapkan keperluan untuk melantik Penyelaras Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH-Coordinator) bagi semua tempat kerja yang mempunyai bilangan pekerja seramai lima orang atau lebih.

"Ia bagi membantu dan menasihati majikan dalam aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

"Pelantikan OSH-Coordinator yang mempunyai pengetahuan berkenaan KKP dijangka dapat meningkatkan pematuhan perundangan oleh pihak majikan dan seterusnya mencegah berlakunya kemalangan dan penyakit pekerjaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2024 @ 1:50 PM