GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya murid dididik untuk mencuci tandas di sekolah mendapat sokongan Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) dan Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (Page).

Presiden PIBGN, Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata, ini disebabkan kebersihan persekitaran tempat belajar atau bekerja adalah tanggungjawab semua yang berada di premis itu dan tidak semata-mata ketua jabatan, pengetua dan guru besar sahaja.

"Untuk mengajukan pelajar-pelajar membersihkan tandas sekolah bagi mendidik kebersihan dan membiasakan mereka menjaga serta menguruskan aset-aset awam dijaga rapi, tiadalah luar biasa, malah disokong kuat," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata demikian mengulas teguran Anwar bahawa kebanyakan tandas di sekolah di negara ini tidak terjaga dan dibaik pulih sebaiknya.

Anwar juga dilapor menyarankan murid dididik untuk mencuci kemudahan berkenaan.

Mohamad Ali dalam pada itu memberikan beberapa cadangan, antaranya dibuat secara giliran setiap kelas membersihkan tandas, surau dan laluan sekitar bilik darjah masing-masing.

"Dulu pun ada kebiasaan pelajar-pelajar mengutip sampah-sarap di padang sekolah dan lain-lain.

"Mungkin juga buat permulaan pelajar-pelajar yang liar disiplin, buli dan lain-lain (boleh) diarah menjalankan kerja-kerja sosial seperti membersihkan tandas di sekolah masing-masing," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Page, Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata, penerapan menjaga kebersihan menggunakan tandas sepatutnya dimulakan daripada belajar membersihkannya terlebih dahulu, selain tabiat ini perlu bermula di rumah.

Beliau turut mengambil contoh di Jepun, yang mana murid sekolah di negara itu mengamalkan kemahiran kehidupan di dalam kelas dan berkebolehan menyediakan makanan sendiri di kantin mereka.

"Namun begitu, kita masih gagal untuk mengambil iktibar daripada apa yang kita sudah tahu sebagai budaya yang patut dicontohi.

"Dengan itu, walaupun kebersihan tandas adalah penting, ia tidak terhad dengan hanya perbuatan mencuci tandas sahaja, tetapi lebih penting ialah membina sahsiah, akhlak dan empati yang datang dengannya," katanya.

Noor Azimah berkata, jadual tugasan mingguan juga perlu diwujudkan untuk membersihkan tandas ini dan perlu pembabitan semua murid tanpa ada yang dikecualikan.

Menyentuh mengenai baik pulih tandas di sekolah, beliau mencadangkan perlunya ada bajet mengenai perkara itu daripada KPM.

Katanya, sehingga kini, tiada bajet berkenaan membaik pulih tandas di sekolah, sebaliknya hanya menggunakan yuran yang dikutip daripada PIBG.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2023 @ 10:02 AM