Mohd Norlisan (tengah) bersama sebahagian peserta pertandingan burung candik peringkat ASEAN di Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Beris Kubor Besar, Bachok. FOTO Nor Amalina Alias
Mohd Norlisan (tengah) bersama sebahagian peserta pertandingan burung candik peringkat ASEAN di Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Beris Kubor Besar, Bachok. FOTO Nor Amalina Alias
Nor Amalina Alias


Bachok: Pertandingan uji suara burung candik bukan sekadar mainan orang kampung malah mula diminati golongan elit dan dipertandingkan hingga peringkat antarabangsa.

Ini dibuktikan dengan penyertaan hampir 1,000 peserta dalam pertandingan burung candik di Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Beris Kubor Besar, di sini.

Penganjur, Mohd Norlisan Ramzai berkata, permainan tradisional itu dilaksanakan bagi memastikan hobi yang sinonim dengan masyarakat kampung itu tidak pupus ditelan zaman.

Bagaimanapun, pihaknya terkejut apabila menerima penyertaan melebihi sasaran sehingga saat akhir pertandingan.

"Kami sangka peminat burung candik semakin berkurangan, rupanya turut mendapat perhatian peminat muda dengan penyertaan peserta daripada usia 18 hingga 80 tahun.

"Lebih mengejutkan, ada peserta dalam kalangan golongan elit dan Orang Kurang Upaya (OKU)," katanya ketika ditemui hari ini.

Norlisan berkata, pertandingan disertai peminat burung candik dari seluruh Malaysia dan Thailand.

Katanya, pemenang dipilih berdasarkan jumlah 'butir' suara burung terbanyak dalam tempoh 13 saat membabitkan empat pusingan.

Pemenang pertama membawa pulang wang tunai RM2,500 dan seekor lembu, tempat kedua RM1,000 dan tempat ketiga RM600 dengan 115 menang sagu hati wang tunai RM400 seorang.

"Saya lihat pertandingan unggas ini mampu menjadi tarikan pelancong di Kelantan, ini bukan 'mainan orang kampung' lagi.

"Pertandingan terbesar ini juga pecah rekod teramai setakat ini dengan jumlah keseluruhan hadiah termasuk cabutan bertuah dengan kos RM57,000," katanya.

Sementara itu, peminat burung candik, Mohd Razali Deraman, 63, berkata, burung candik bernilai tinggi dengan harga RM1,000 ke atas dan mampu mencecah belasan ribu jika sering menang pertandingan.

Katanya, dia sendiri memiliki 10 ekor burung candik dengan nilai lebih RM10,000.

Peserta dari Narathiwat, Thailand, Judin Mat Ming, 41, berkata, pertandingan burung candik dibuat setiap hari di negaranya.

Katanya, hobi itu turut digilai golongan profesional seperti doktor dan polis serta umpama satu aktiviti sukan yang mempunyai ramai peminat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2024 @ 1:26 PM