Timbalan Ketua Menteri 1 Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid (kanan) di sini, ketika menerima kunjungan Mufti Pulau Pinang baharu, Prof Madya Dr Mohd Sukki Othman (kiri). FOTO IHSAN TKM1
Timbalan Ketua Menteri 1 Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid (kanan) di sini, ketika menerima kunjungan Mufti Pulau Pinang baharu, Prof Madya Dr Mohd Sukki Othman (kiri). FOTO IHSAN TKM1
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Profesor Madya di Unit Bahasa Arab, Jabatan Bahasa Asing, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Sukki Othman dilantik sebagai Mufti Pulau Pinang yang baharu.

Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang menerusi hantaran di Facebook mengumumkan pelantikan Mohd Sukki itu berkuat kuasa hari ini bagi menggantikan mufti sebelum ini Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor.

Timbalan Ketua Menteri 1 Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid turut mengucapkan tahniah atas pelantikan itu.

Mohamad berkata, Mohd Sukki adalah Pensyarah Kanan dan Profesor Madya di UPM yang diluluskan secara pinjaman oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

"Tahniah diucapkan atas pelantikan Profesor Madya Dr Mohd Sukki Othman sebagai Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang baharu berkuat kuasa 1 Julai hari ini.

"Beliau anak jati Pulau Pinang dalam bidang Bahasa Arab dan syariah dari Universiti Yarmouk, Jordan; Sarjana Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Doktor Falsafah dari Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM).

"Berikutan pengalaman dan pengetahuannya yang luas, saya berharap mufti baharu dapat menjalankan amanah dengan cemerlang dalam memimpin dan mentadbir Jabatan Mufti Negeri dan Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang," katanya ketika dihubungi di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2024 @ 1:33 PM