Pekerja, Saiful Nizam Ahmad, 27, menunjukkan minyak paket yang dijual dikedainya di Plentong, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Pekerja, Saiful Nizam Ahmad, 27, menunjukkan minyak paket yang dijual dikedainya di Plentong, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Mohamed Farid Noh


Johor Baharu: Minyak masak paket bersubsidi yang dijual pada harga RM2.50 sekilogram kini menjadi rebutan orang ramai sejak harga minyak masak botol melonjak naik.

Tinjauan di Plentong dan Tampoi, di sini, mendapati beberapa kedai runcit turut kehabisan stok minyak masak paket berikutan bekalan berkurangan.

Namun, beberapa kedai runcit lain pula didapati masih mempunyai bekalan minyak masak paket yang baru tiba sejak semalam.

Pekerja kedai runcit, Saiful Nizam Ahmad, 27, berkata penghantaran stok minyak masak paket satu kilogram (kg) tidak konsisten menyebabkan ada kawasan yang terputus bekalan itu sejak seminggu lalu.

Katanya, majikannya juga baru menerima bekalan minyak masak paket, semalam selepas terputus stok sejak seminggu lalu.

"Minyak masak paket satu kg memang menjadi rebutan sekarang, malah ada pembeli menuduh saya menyorok bekalan selepas kedai terputus bekalan.

"Alhamdulillah, tiga kotak minyak masak paket baru tiba semalam walaupun pesanan dibuat lima kotak. Pembekal menyatakan stok minyak masak paket mendapat permintaan luar biasa.

"Majikan saya terpaksa mengehadkan pembelian dua paket sahaja bagi setiap pembeli bagi membolehkan lebih banyak pengguna dapat membelinya," katanya ketika ditemui, hari ini.

Menurutnya, walaupun majikan menyatakan untung rendah bagi setiap paket, bekalan itu sebenarnya pelaris kerana pelanggan akan turut membeli barangan lain.

Sementara itu, peniaga kedai runcit di Tampoi, Iskandar Talib, 56, mendakwa dia tidak menerima bekalan minyak masak paket sejak seminggu lalu walaupun sudah membuat pesanan kepada pembekal.

"Kebiasaannya saya beli sekotak besar minyak masak paket setiap dua hari, namun sejak seminggu lalu bekalan belum lagi dihantar, bila saya minta untuk beli lebih pun pembekal kata tiada.

"Pembekal mendakwa stok tiada selain menyatakan mereka menerima permintaan lebih tinggi berbanding kebiasaan sejak bulan lalu dan tidak dapat memenuhi permintaan yang tinggi," katanya.

Sementara itu, pengguna dikenali sebagai Fauziah, 46, berkata dia berharap pihak berkuasa meletakkan harga siling pada minyak masak botol lima kg yang melepasi harga RM33 di pasaran ketika ini.

"Saya kasihan pada keluarga kurang mampu kerana jika minyak masak paket kehabisan, mereka tidak mampu beli minyak masak botol.

"Saya yang bekerja pun rasa terbeban dengan kenaikan mendadak minyak masak botol, bayangkanlah pada keluarga kurang mampu. Sebab itulah, saya elak beli minyak masak paket walaupun harga minyak botol mahal.

"Namun, saya harap pihak berkuasa meletakkan harga siling pada minyak masak botol seperti petrol berikutan mungkin harganya boleh melepasi RM40 selepas ini sekali gus meresahkan pengguna," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Jun 2021 @ 3:26 PM