JPJ akan terus jalankan operasi dari masa ke semasa bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang. -Foto fail
JPJ akan terus jalankan operasi dari masa ke semasa bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang. -Foto fail
Mohd Shafuan Khairi


JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan sentiasa menjalankan operasi dari masa ke semasa bagi memastikan pengguna jalan raya di negeri ini sentiasa mematuhi undang-undang.

Timbalan pengarah JPJ Kelantan Mohd Apandi Jusoh berkata, operasi dan pemantauan akan terus diadakan dan ianya tidak hanya setakat musim perayaan.

“JPJ bersama agensi penguatkuasa lain akan sentiasa memantau pengguna jalan raya termasuk pemandu pengangkutan awam supaya mereka bebas dari pengaruh dadah dan memandu dalam keadaan normal.

“JPJ sekarang ini giat melakukan pemantauan di seluruh negeri Kelantan bagi memastikan pemandu mematuhi syarat dan tidak melanggar undang-undang yang telah dikuatkuasakan.

“Kami sentiasa membuat pemeriksaan pemandu dan juga kenderaan pengangkutan awam tidak melanggar undang-undang dan memantau laluan keluar masuk ke negeri ini,” katanya ketika ditemui selepas latihan menembak di Lapang Sasar Padang Tembak di Kota Bharu, semalam.

Beliau berkata, operasi JPJ terbaru adalah Ops Pemandu Warga Asing (PEWA) terutama terhadap kenderaan berat perdagangan.

“Operasi khas ini lebih kepada kenderaan bermuatan lebih. Ia dijalankan bagi memastikan pengangkutan muatan seperti lori tidak membawa muatan berlebihan.

“Selain itu, unit bermotosikal berkuasa tinggi jabatan akan sentiasa membuat rondaan penguatkuasaan khususnya di bandar-bandar bagi memastikan pengguna awam tidak melanggar undang-undang.

“Ini adalah satu daripada cara untuk menangani kemalangan,” katanya.

Katanya JPJ tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas kepada para pemandu yang melanggar undang-undang.

Sementara itu, seramai 73 anggota JPJ Kelantan menyertai ujian kemahiran menembak yang dijalankan setiap tahun bagi memastikan setiap anggota berkemahiran mengendalikan pistol dengan betul.

“Setiap anggota sentiasa membawa senjata dalam operasi dan latihan ini amat penting bagi memastikan mereka mahir menggunakan senjata,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Julai 2018 @ 12:15 PM