FOTO Ihsan Facebook Myjointforce
FOTO Ihsan Facebook Myjointforce
Mohd Nasaruddin Parzi

Kuala Lumpur: Jenazah anggota Batalion Malaysia 850-11 (MALBATT 850-11) bagi misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) di Lubnan, Sarjan Faridah Abd Rahman yang meninggal dunia Sabtu lalu sudah diterbangkan pulang ke tanah air petang tadi.

Markas Angkatan Bersama (MK AB) dalam kenyataan di Facebook memaklumkan bahawa pesawat membawa Faridah, 39, berlepas dari Lapangan Terbang Rafik Hariri, Beirut pada 12.05 tengahari waktu Lubnan atau 5.05 petang waktu Malaysia ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi urusan pengebumian di kampung halaman Allahyarhamah di Pendang, Kedah.

Terdahulu, majlis penghormatan ke atas Allahyarhamah Sarjan Faridah dilaksanakan mengikut tradisi ketenteraan oleh pihak UNIFIL bertempat di Lapangan Terbang Antarabangsa Rafik Hariri, Beirut, Lubnan.

Majlis itu dihadiri Komander UNIFIL, Leftenan Jeneral Aroldo Lazaro; Duta Besar Malaysia ke Lubnan, Azri Mat Yaacob; Panglima 5 Briged (LAF), Brigedier Jeneral Ahmad Saadeh; Komander Sektor Barat, Brigedier Jeneral Enrico Fontana serta Komander MALBATT 850-11, Kolonel Burhan Sagoni.

"Ketibaan jenazah Allahyarhamah turut disambut Kontinjen MALBATT 850-11 dan suasana hiba dirasakan apabila jenazah diturunkan daripada van jenazah dan diusung masuk.

"Tetamu kenamaan yang hadir memberikan tabik hormat ketika keranda jenazah diusung dan diletakkan di tengah-tengah medan dibaluti bendera UNIFIL," katanya.

FOTO Ihsan Facebook Myjointforce
FOTO Ihsan Facebook Myjointforce

MK AB berkata, upacara itu dimulakan dengan pengurniaan pingat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pingat Keberanian Tentera Lubnan (Gangsa) kepada Allahyarhamah.

"Lazaro kemudiannya meletakkan pingat PBB sebagai pengiktirafan diatas pengorbanan Allahyarhamah sepanjang berkhidmat di bawah panji-panji PBB dan disusuli dengan Ahmad Saadeh, wakil LAF meletakkan pingat Lubnan sebagai tanda penghargaan dari Kerajaan Lubnan.

"Upacara diteruskan dengan meletakkan kalungan bunga dimulakan oleh Komander UNIFIL dan disusuli Duta Besar Malaysia ke Lubnan, wakil LAF, Komander Sektor Barat dan Komander MALBATT.

"Suasana di medan bertukar hening dan pilu seketika semasa tiupan 'last post' sebagai penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah Sarjan Faridah," katanya.

Katanya, upacara kemudiannya diakhiri dengan bendera UNIFIL dilipat oleh anggota MALBATT dan doa dibacakan sebelum keranda Allahyarhamah, yang dilitupi Jalur Gemilang, diusung keluar dari medan dan dibawa ke tempat penyimpanan kargo untuk diterbangkan ke Malaysia.

Markas Angkatan Tentera Malaysia (MK ATM) dalam kenyataannya sebelum ini memaklumkan Allahyarhamah rebah dan tidak sedarkan diri ketika turun dari bas di Kem Marakah, kira-kira jam 7.25 pagi waktu Malaysia.

Beliau berkata, Faridah yang bertugas sebagai Penyelia Kanan Hal Ehwal Islam MALBATT 850-11 di Kem Marakah, baru kembali ke Lubnan selepas selesai bercuti di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 11:23 PM