SESI libat urus ini dipengerusikan  Lokman Jamaan,
SESI libat urus ini dipengerusikan Lokman Jamaan,
Muhaamad Hafis Nawawi


Putrajaya: Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) mengadakan sesi libat urus bersama Persatuan Kuari Malaysia dan Persatuan Pengusaha-Pengusaha Lori Tipper Malaysia bagi menyelaraskan keperluan mematuhi undang-undang dan peraturan mengikut Perintah Sekatan Berat (Jalan Persekutuan) 2018.

Sesi libat urus ini dipengerusikan Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Datuk Lokman Jamaan bersama Persatuan Kuari Malaysia diwakili yang diwakili Presidennya, Datuk Sri Toh Keng Tiong serta empat wakil.

Persatuan Pengusaha-Pengusaha Lori Tipper Malaysia pula diwakili Presidennya Datuk Michael Loo Leep Chye bersama wakil persatuan.

Dalam sesi libat urus itu, persatuan terbabit mengambil maklum pembentangan oleh JPJ berhubung penguatkuasaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) serta Kaedah-Kaedah di bawahnya yang menetapkan syarat dan peraturan jelas bagi keperluan muatan selamat.

JPJ berkata, penguatkuasaan tegas dan berterusan dilaksanakan oleh JPJ adalah bagi memastikan undang-undang dan peraturan berkuat kuasa dipatuhi sepenuhnya ke arah keselamatan pengguna dan seterusnya mengawal kerosakan jalan raya.

"Hasil sesi libat urus ini, Persatuan Kuari Malaysia dan Persatuan Pengusaha-Pengusaha Lori Tipper Malaysia bersetuju dan memberi komitmen untuk menyelaraskan bersama ahli persatuan bagi mematuhi kehendak undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa demi keselamatan pengguna jalan raya serta mengurangkan beban kos kepada kerajaan akibat kerosakan jalan yang disebabkan oleh lebihan muatan.

"Kendatipun begitu, kedua-dua persatuan juga sedia bekerjasama dengan JPJ bagi memastikan kawalan kendiri (self enforcement) pelaksanaan Perintah Sekatan Berat (Jalan Persekutuan) 2018 dapat dikuatkuasakan secara tuntas di peringkat industri," katanya dalam kenyataan di Facebooknya hari ini.

Menurut JPJ, persatuan terbabit juga bersetuju JPJ mengenakan tindakan lebih tegas kepada kenderaan yang membawa muatan berat melebihi 70 peratus hingga boleh mengakibatkan kegagalan fungsi teknikal, sistem brek serta peningkatan kadar kemalangan dan kerosakan jalan raya.

"JPJ ingin menegaskan supaya syarikat dan pemandu kenderaan komersial untuk sentiasa mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan bagi memastikan ekosistem jalan raya sentiasa selamat kepada pengguna jalan raya yang lain.

"JPJ juga akan sentiasa mengadakan pendekatan fasilitasi bersama pihak industri ke arah memastikan ekosistem penguatkuasaan undang-undang dan peraturan-peraturan mengikut Akta 333, 334, 715 dan Kaedah-Kaedah di bawahnya dapat membudayakan keselamatan jalan raya dengan lebih efektif," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2023 @ 7:26 PM