UCAPAN takziah TFC kepada penjaga gol, Suhaimi Husin. FOTO TFC
UCAPAN takziah TFC kepada penjaga gol, Suhaimi Husin. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Peminat setia skuad Terengganu FC (TFC) menzahirkan ucapan takziah kepada penjaga gol, Suhaimi Husin yang kehilangan ayahanda tercinta malam tadi.

Ucapan takziah itu dizahirkan melalui laman sosial yang mendoakan agar arwah ditempatkan dalam kalangan insan beriman.

Turut merakam ucapan takziah pihak pengurusan Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd yang mendoakan roh arwah ditempatkan bersama dengan insan yang beramal soleh.

Bapa penjaga gol kebangsaan itu, Husin Samad menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 10.33 malam tadi.

Sementara itu Suhaimi berkata, Allahyarham bapanya selamat dikebumikan di kampung halamannya di Besut.

"Alhamdulillah ayahanda tercinta saya selamat dikebumikan di kampung Felda Selasih, Besut.

"Kami bagi pihak keluarga mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan arwah, semoga ayahanda tercinta saya di tempatkan dalam kalangan insan beriman dan beramal soleh," kata penjaga gol nombor satu itu ketika dihubungi.

Pada musim ini, penjaga gol yang memulakan kariernya bersama kelab Hanelang FC pada 2014 setakat ini masih lagi tidak dapat diturunkan selepas mengalami kecederaan lutut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 11:27 PM