ANTARA kenderaan berat dipercayai membawa lebih muatan yang diperiksa JPJ dalam operasi di Ijok dan Sungai Buloh, semalam.
ANTARA kenderaan berat dipercayai membawa lebih muatan yang diperiksa JPJ dalam operasi di Ijok dan Sungai Buloh, semalam.
Nurul Hidayah Bahaudin

Sungai Buloh: Dua kenderaan berat memiliki 25 kes kesalahan aktif yang belum selesai dikesan membawa muatan masing-masing melebihi 80 dan 108 peratus di Ijok dan di sini, semalam.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam kenyataan berkata, dua kenderaan itu diperiksa pasukan risikan operasi yang bertindak atas aduan diterima daripada orang awam.

"Dalam risikan operasi ini, JPJ turut membuat satu laporan polis ekoran gangguan samseng lori yang menghalang dan cubaan menggagalkan tindakan penahanan kenderaan berat berkenaan.

"Lori berkenaan yang disyaki membawa muatan melebihi 80 peratus juga didapati dipandu individu warga asing selain mempunyai kesalahan aktif belum selesai," katanya menerusi Facebook, hari ini.

Tinjauan di lokasi risikan operasi itu turut dihadiri oleh Pengarah Penguat kuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan.

"JPJ akan terus melaksanakan pemantauan dan mengambil tindakan tegas ke atas kenderaan berat terutama yang membawa muatan melebihi 70 peratus.

"Jumlah itu dikategorikan sebagai paling berisiko mengakibatkan kegagalan fungsi teknikal dan sistem brek selain peningkatan kadar kemalangan maut serta kerosakan jalan raya," katanya.

Katanya, JPJ mengalu-alukan orang ramai membuat aduan berhubung kesalahan lebih muatan.

"Syarikat dan pemandu kenderaan komersial dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan bagi memastikan ekosistem jalan raya sentiasa selamat kepada pengguna lain.

"JPJ akan meneruskan penguatkuasaan undang-undang dan peraturan di bawah Akta 333, 334, 715 dan Kaedah-Kaedah di bawahnya bagi membudayakan keselamatan pengguna dengan pematuhan peraturan keselamatan jalan raya berkuat kuasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Oktober 2023 @ 8:59 PM