SEKUMPULAN pemandu lori membuat laporan polis terhadap JPJ yang didakwa tidak melepaskan kenderaan mereka walaupun sudah menjelaskan kompaun. FOTO Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
SEKUMPULAN pemandu lori membuat laporan polis terhadap JPJ yang didakwa tidak melepaskan kenderaan mereka walaupun sudah menjelaskan kompaun. FOTO Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Sekumpulan pemandu hilang punca pendapatan selepas lori milik mereka tidak dilepaskan daripada sitaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) walaupun mendakwa sudah melangsaikan kompaun atas kesalahan lebih muatan.

Kumpulan itu mendakwa ada pemilik lori sudah disenarai hitam oleh pihak bank kerana gagal membayar ansuran bulanan kenderaan berat itu yang mencecah RM6,000 sebulan.

Pada masa sama mereka mendakwa, JPJ enggan melepaskan lori milik mereka malah mengeluarkan notis pelucutan hak walaupun kompaun berjumlah puluhan ribu ringgit sudah dilangsaikan.

Peguam kumpulan, Muhamad Khairuddin Annuar mengibaratkan notis pelucutan hak itu sebagai 'tamparan' kali kedua kepada anak-anak guamnya kerana ada antara mereka sudah membayar kompaun lebih RM25,000.

"Dengan saya ada 18 anak guam membabitkan kes sama di mana mereka sudah membayar denda bagaimanapun terima notis daripada JPJ untuk pelucutan hak.

"Tindakan ini amat tidak adil bagi anak guam saya kerana denda sudah dilangsaikan, ia amat menjejaskan mata pencarian mereka yang bergantung kepada lori berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir bersama anak guam dan sekitar 50 pemandu lori di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk membuat laporan berhubung isu itu, hari ini.

Pemandu lori, Shanmagaraja Kannaga Raja, 43, berkata, dia antara pemandu lori yang hilang punca pendapatan selepas kenderaan berat miliknya disita JPJ Disember lalu.

"Denda sudah dibayar tetapi sehingga kini lori tidak dilepaskan bagaimana mahu cari makan? Lebih teruk sekarang bank sudah hantar notis kepada saya untuk senarai hitamkan saya.

"Ini kali pertama lori saya disita, kami bukan bawa dadah, bukan bawa barang terlarang kesalahan saya lebih muatan saja, malah cukai jalan dan semua dokumen masih sah dan lengkap semasa ditahan. Ini tidak adil," katanya.

Teh Chee Min, 58, turut meluahkan kekesalan apabila lori miliknya dikenakan notis pelucutan hak walaupun denda yang dikenakan terhadapnya atas kesalahan lebih muatan sudah dijelaskan.

Katanya, ramai pemandu lori terpaksa membawa muatan lebih daripada dibenarkan berikutan kenaikan kos terutama harga minyak, harga tayar, dan lain-lain kos penyelenggaraan.

"Macam mana mahu hidup, kami mahu cari makan pun tidak boleh kerana kalau ikut had berat yang ditetapkan hendak tampung kos minyak pun kadang kala tidak mencukupi.

"Saya sudah 20 tahun bawa lori, kami bukan marah sesiapa, kami cuma mahu keadilan untuk pemandu lori. Inflasi menyebabkan harga barang naik, kalau kami naikkan caj penghantaran, harga barang akan bertambah naik, jadi kami terpaksa bawa lebih muatan.

"Ia untuk menampung kos perbelanjaan dan operasi yang tinggi ketika ini, bayangkan mahu tukar satu biji tayar meletup pun kami sudah pening kepala, kami bukan pencuri jadi saya rayu pihak berwajib lepaskan lori kami," katanya.

Sehubungan itu, kumpulan itu memohon pihak berkenaan khususnya JPJ dan Kementerian Pengangkutan (MOT), supaya meneliti semula undang-undang berkaitan had muatan serta melepaskan lori-lori yang disita terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 September 2023 @ 1:06 PM