Sebahagian haiwan ternakan penduduk yang mati terkena renjatan elektrik di Kampung Sembirai, Kota Belud tiga hari lalu. FOTO JOHARY INDAN
Sebahagian haiwan ternakan penduduk yang mati terkena renjatan elektrik di Kampung Sembirai, Kota Belud tiga hari lalu. FOTO JOHARY INDAN
Johary Indan


Kota Belud: Kematian 12 haiwan ternakan penduduk di Kampung Sembirai, di sini, tiga hari lalu yang terkena renjatan elektrik berpunca cubaan mencuri kabel di kawasan berkenaan.

Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dalam satu kenyataan berkata, perbuatan itu bukan sahaja boleh menyebabkan renjatan elektrik kepada pelaku, malah membahayakan nyawa orang ramai yang berada di sekitar lokasi kejadian.

"Pasukan teknikal SESB Kota Belud menerima aduan penduduk mengenai haiwan ternakan mati akibat terkena renjatan elektrik di Kampung Sembira jam 8.45 pagi, 13 September lalu.

"Hasil pemeriksaan mendapati ada kabel elektrik terjuntai di lokasi kejadian dipercayai akibat kegiatan cubaan mencuri kabel oleh individu tidak bertanggung jawab," katanya.

SESB berkata, pihaknya mendapati arus mengalir melalui kabel elektrik yang berjuntai ke tanah kerana dipotong dalam cubaan mencuri.

"Perbuatan itu menyebabkan kematian 12 haiwan ternakan kerana terkena renjatan elektrik," katanya.

Berikutan itu, SESB membuat laporan polis mengenai perkara itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Belud untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, SESB berasa kesal kerana masih ada yang tidak memahami bahaya mencuri kabel elektrik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 September 2023 @ 12:20 AM