Poliana Ronnie Sidom


SABAH Electricity Sdn Bhd (SESB) menubuhkan panel siasatan dalaman yang bertanggungjawab membuat siasatan terperinci berhubung kes renjatan elektrik membabitkan dua pekerja kontraktor SESB, Rabu lalu.

Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset), Norhizami Abu Hasan berkata, siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian itu masih dilakukan.

Katanya, kedua-dua mangsa juga masih berada dalam pemantauan pihak Hospital Queen Elizabeth.

“Kemalangan berlaku ketika kerja pemasangan talian 11 kilovolt (kV) dilaksanakan menyebabkan dua pekerja kontraktor lantikan SESB cedera.

“Panel siasatan dalaman ditubuhkan serta-merta untuk melakukan siasatan terperinci dan kita masih mengenal pasti punca kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan dua pekerja kontraktor SESB melecur akibat terkena renjatan elektrik ketika kerja penyelenggaraan kabel di tepi Jalan Petagas-Lok Kawi, Penampang, kira-kira jam 4 petang, Rabu lalu.

Kedua-dua berusia lingkungan 30-an melecur di beberapa anggota badan termasuk tangan dan muka.

Ketika kejadian, mangsa berada di atas tiang, sebelum beberapa rakan sekerja mereka membantu membawa turun mangsa.

Berita berkaitan

Melecur terkena renjatan elektrik

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2019 @ 2:59 PM