GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izwan Abdullah


Beaufort: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) meminta Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) memastikan setiap loji rawatan air milik jabatan itu dilengkapi janakuasa alternatif yang berfungsi dengan baik bagi mengelak operasi terhenti sekiranya bekalan elektrik terputus.

Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) SESB, Ir Norhizami Abu Hasan berkata, pemasangan janakuasa alternatif penting terutama ketika berdepan situasi banjir yang memaksa SESB memutuskan bekalan di kawasan terjejas.

Beliau berkata, janakuasa alternatif juga boleh dimanfaatkan jika berlaku kerosakan terhadap pepasangan SESB atau gangguan terhadap kabel penghantaran yang menyebabkan bekalan elektrik terputus.

"SESB menyarankan kepada JANS supaya memastikan set janakuasa (alternatif) sedia ada di setiap loji miliknya berfungsi dengan baik sebagai alternatif untuk memastikan loji mereka tidak dihenti tugas ketika berlaku gangguan bekalan elektrik.

"Ini kerana, SESB menerima banyak aduan mengenai masalah bekalan air yang terputus akibat gangguan elektrik ketika banjir melanda daerah ini," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau mengulas aduan penduduk di sekitar daerah ini dan Kuala Penyu yang merungut terputus bekalan air sejak kejadian banjir yang berlarutan lebih seminggu lalu yang dikatakan berpunca daripada ketiadaan bekalan elektrik.

SESB dalam kenyataannya sebelum ini menjelaskan pihaknya terpaksa menutup bekalan elektrik selepas banyak pencawang elektrik syarikat itu ditenggelami air akibat banjir yang berlaku sejak minggu lalu.

Sementara itu, Norhizami berkata, bagi gangguan bekalan air di daerah Kuala Penyu, masalah dikenal pasti berpunca daripada kerosakan kabel bawah tanah di Loji Rawatan Air Limbawang, dekat sini.

Katanya, SESB menerima aduan mengenai gangguan bekalan elektrik di loji berkenaan pada 21 Mei lalu tetapi usaha untuk membaik pulih tidak dapat dilaksanakan berikutan laluan ke loji terbabit ditenggelami banjir.

"SESB hanya dapat masuk ke kawasan loji pada 22 Mei setelah air banjir surut dan pemeriksaan oleh pasukan teknikal SESB mengenal pasti berlaku kerosakan pada kabel bawah tanah dari pencawang yang menyalurkan elektrik ke loji berkenaan.

"Hasil siasatan SESB, kita mendapati kerosakan adalah disebabkan kerja pengorekan tanah yang dikendalikan kontraktor di bawah seliaan JANS yang sedang melakukan kerja pemasangan paip berhampiran kabel elektrik SESB.

"Kontraktor JANS terkorek kabel bawah tanah milik SESB. Namun, kerosakan itu sudah dibaiki selepas kontraktor JANS bersetuju menggantikan kabel yang rosak itu dan bekalan elektrik pulih pada 23 Mei lalu," katanya.

Sebahagian besar penduduk daerah ini dilapor berdepan masalah bekalan air yang diburukkan lagi dengan kejadian banjir sejak minggu lalu, menyebabkan mereka mengalami kesukaran menjalani rutin harian.

Semalam, Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor ketika tinjauannya di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mangsa banjir di daerah ini turut meminta agar JANS mencari jalan mengatasi masalah bekalan air yang dilaporkan turut berlaku ketika tiada banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Mei 2021 @ 10:46 AM