Zahir menunjukkan bekalan gula. FOTO Hidayatidayu Razali
Zahir menunjukkan bekalan gula. FOTO Hidayatidayu Razali
Oleh Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Bekalan gula bersubsidi paket satu kilogram (kg) di Kelantan berkurangan sejak lebih sebulan lalu menyebabkan peniaga terpaksa mengehadkan penjualan kepada pelanggan.

Tinjauan di beberapa kedai runcit di sekitar Pintu Geng di sini, mendapati, peniaga mengehadkan pembelian sebanyak dua paket sahaja kepada setiap pelanggan.

Pekerja kedai runcit HH7 Enterprise, Nur Syamimi Abdul Satar, 30, berkata, pihaknya terpaksa mengehadkan penjualan kerana tidak mahu pelanggan lain gagal mendapatkan bekalan.

"Ia berlaku sejak lebih sebulan lalu berikutan kekurangan bekalan gula namun pembeli mempunyai pilihan untuk mendapatkan gula premium yang berharga RM4.50 sekilogram," katanya.

Seorang lagi pekerja kedai runcit, Muhamad Zahir Zaihan, 19, pihaknya memesan 720kg gula setiap bulan daripada pemborong.

"Stok itu mencukupi untuk menampung keperluan pelanggan dan kami turut mengehadkan pembelian kepada dua paket bagi setiap pelanggan.

"Kami harap masalah ini dapat diselesaikan segera kerana ramai merungut, terutama pengusaha kuih muih, berikutan gagal memperoleh bekalan gula dalam kuantiti besar," katanya.

Sementara itu, peniaga kuih, Rabiatul Adawiyah Mohd Nor, 35, berkata, masalah kekurangan gula menyebabkan dia berdepan kesulitan apabila perlu membeli di beberapa kedai.

"Saya menggunakan kira-kira 10kg gula setiap hari dan perlu membeli di lima kedai untuk mendapatkan jumlah berkenaan.

"Sebagai pengguna, saya harap masalah ini segera diselesaikan kerana ketika ini, bukan saja bekalan gula kurang, malah agak sukar untuk mendapatkan bekalan telur ayam dan minyak masak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2023 @ 3:07 PM