Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Peniaga sekitar bandar ini mendakwa bekalan minyak masak paket sekilogram dan minyak masak dalam botol kehabisan sejak lebih sebulan lalu.

Tinjauan mendapati kebanyakan kedai runcit mendakwa bukan sahaja terputus bekalan minyak masak paket, malah minyak masak dalam botol juga kehabisan disebabkan tidak mendapat bekalan daripada pembekal.

Pekerja kedai runcit, Siti Sarah Mohd Din, 37, berkata sebelum ini dia mengambil bekalan secara terus daripada kilang di Pasir Mas, namun tetapi keadaan berbeza sejak lebih sebulan lalu.

"Kali terakhir saya mendapat bekalan minyak masak pada November tahun lalu sebanyak 340 paket dan kini bekalan tidak diperoleh sehingga menerima rungutan pelanggan.

"Ramai pengguna mahu membeli minyak masak paket, namun kehabisan bekalan kerana kami sukar mendapatkan minyak masak paket sejak Disember tahun lalu.

"Pada masa sama, ramai pelanggan seperti peniaga kuih muih dan juga pisang goreng mengalami masalah sehingga memaksa mereka mendapatkan bekalan di daerah lain," katanya ketika ditemui di Wakaf Che Yeh, di sini, hari ini.

Pekerja kedai runcit, Khairil Fajri Afendi, 31, berkata pemborong tidak memberi bekalan minyak masak ketika membeli barang keperluan kedainya pada Disember tahun lalu.

KAMARULNIZAM memeriksa minyak masak paket di kedai miliknya tidak pernah terputus bekalan minyak masak sebaliknya ia mencukupi untuk menampung keperluan pengguna yang diambil terus daripada kilang. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
KAMARULNIZAM memeriksa minyak masak paket di kedai miliknya tidak pernah terputus bekalan minyak masak sebaliknya ia mencukupi untuk menampung keperluan pengguna yang diambil terus daripada kilang. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan dia terputus bekalan minyak masak sehingga hari ini.

"Malah ada pelanggan yang datang ke kedai memarahi saya dan memberitahu sengaja menyorok bekalan minyak masak dan hanya dijual kepada orang yang tertentu sahaja.

"Namun, saya sendiri kebingungan apabila bekalan minyak masak terputus dalam tempoh begitu lama sehingga membebankan pengguna," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan, Azanizam Affendi Juri berkata, setakat ini pihaknya menerima tiga aduan daripada orang ramai.

"Kita juga sudah menyarankan peruncit supaya mendapatkan bekalan minyak masak daripada pembekal yang disenaraikan.

"KPDNHEP sentiasa mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan pengilang minyak masak bagi memastikan bekalan di negeri ini mencukupi untuk menampung keperluan pengguna," katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 January 2022 @ 3:26 PM