Fahmi Fadzil
Fahmi Fadzil
BERNAMA

Kota Kinabalu: Rata-rata wartawan sambilan di Sabah menganggap langkah kerajaan menampung caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) memberikan perlindungan yang amat penting kepada mereka dalam melaksanakan tugas, terutama di kawasan mencabar di negeri ini.

Isnin lalu Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil ketika berucap dalam majlis perasmian kemuncak sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2024 di Kuching, Sarawak berkata, Kementerian Komunikasi melalui Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) akan menampung sepenuhnya caruman itu bagi tempoh setahun bermula Julai ini.

Wartawan Sambilan Harian Metro, Mohd Nazlie Zainul berkata, dalam melaksanakan tugas membuat liputan di Sabah terutama di kawasan pedalaman dan meliputi kawasan yang luas, ia bukanlah sesuatu yang mudah, malah mendedahkan pengamal media kepada risiko yang amat tinggi.

Beliau berkata, selain itu wartawan sambilan juga terdedah dengan bahaya ketika membuat laporan mengenai bencana demi memberikan maklumat atau amaran untuk rakyat, justeru langkah kerajaan membuat caruman Perkeso kepada kelompok ini memang tepat sekali.

"Satu inisiatif bagus, walaupun tempohnya setahun saja, tetapi ini memberikan ruang dan membuka minda kepada wartawan sambilan untuk meneruskan caruman yang memberikan perlindungan kepada mereka.

"Wartawan sambilan bukan seperti wartawan tetap yang disediakan faedah seperti insurans dan lain-lain, jadi caruman Perkeso ini melindungi kita jika berdepan situasi tidak diingini ketika melaksana tugas," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, wartawan sambilan Utusan Malaysia, Suraidah Roslan berkata, langkah itu tepat bagi dirinya yang sering berkerja di lapangan, namun beliau belum sempat lagi untuk membuat caruman Perkeso biarpun boleh mencarum secara sukarela.

Beliau berkata, caruman Perkeso itu membolehkan beliau berlapang dada dan tidak risau apabila melaksana tugas kerana walaupun berstatus sambilan, tugas yang perlu dilaksanakan adalah sepenuh masa.

"Kerja wartawan memerlukan saya masuk ke kawasan mencabar, menaiki bot menyusuri sungai dan meredah laluan tanah merah demi mendapatkan bahan berita yang menarik jadi, tanpa caruman itu kami merisikokan diri apabila pergi ke kawasan yang mencabar," katanya.

Sementara itu wartawan sambilan Sinar Harian, Norasikin Daineh berkata, caruman Perkeso juga penting untuk perlindungan ketika ke tempat bertugas berikutan jarak perjalanan yang amat jauh perlu ditempuhi pengamal media untuk ke kawasan liputan.

Memberikan contoh beliau baharu spulang membuat liputan mahkamah mengenai seorang pendakwah di Tenom yang terletak 150 kilometer (km) arah selatan dari Kota Kinabalu, ia satu perjalanan amat mencabar serta berbahaya terutama merentasi kawasan berbukit dan gunung di Banjaran Crocker.

"Ada juga wartawan tetap yang diberhentikan terutama ketika Covid-19 dulu, dan mereka jadi wartawan sambilan tanpa perlindungan penuh sebagaimana sebelumnya. Jadi menerusi caruman ini, ia akan kembalikan faedah yang pernah mereka nikmati satu ketika dulu," katanya.

Pemberita Sambilan Bernama, Emin Madi yang berkecimpung dalam dunia kewartawanan sejak tahun 80-an berkata, usaha ini membuktikan keprihatinan Kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Ini suatu pengiktirafan besar kepada pengamal media sambilan seperti kami, kerajaan lihat bahawa kami penting dalam memberikan maklumat terkini untuk rakyat selain menghargai apa yang telah kami lakukan untuk negara," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata, perlindungan itu juga memberikan suntikan semangat dan meringankan kerisauannya melaksanakan liputan di kawasan hutan yang amat disukainya.

Beliau baru saja pulang membuat liputan penyelidikan sebuah yayasan di Maliau Basin, Tongod kira-kira 300 km dari sini yang terkenal sebagai hutan perlindungan yang kaya dengan flora dan fauna, sukar ditemui di Borneo.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2024 @ 1:21 PM